Kesayangan, Kebanggaan...

| Friday, August 03, 2012 | |

Isha melabuhkan punggungnya di atas sofa, bersebelahan dengan bapanya. Bapanya yang sedang tersandar pada kerusi malas sejak tadi seakan hampir terlelap, segera membuka mata melihat ke arah Isha, puteri sulungnya. Gerak laku anaknya itu sedikit mengejutkannya daripada lamunan.


"Kenapa abah sering membeza-bezakan antara kami dua beradik. Abah kerap kali memuji kebaikan Khalish di hadapan orang lain, di hadapan saudara-mara, di hadapan para tetamu rumah ini. Tetapi abah tidak pernah sekali pun memuji apa pun kebaikan Isha," rungut Isha pada bapanya dengan tiba-tiba.


"Abah juga ada memuji kamu, mungkin kamu yang tidak perasan. Atau abah hanya memperkatakan tentang kebaikan kamu ketika kamu tiada. Maaf, kalau abah membuatkan kamu berkecil hati," jawabnya.


"Ah, abah memang macam tu. Sejak Khalish lahir lagi, abah dan ibu selalu melebihkan dia daripada Isha. Dia selalu mendapat barang permainan yang dia mahukan, tetapi Isha hanya diberikan permainan yang tidak lagi dia mahukan. Abah dan ibu kerap bingkas bangun dengan segera tiap kali mendengar dia menangis tak tira pada waktu apa sekali pun, tetapi Isha sering dibiarkan menangis sendiri hingga bengkak mata dan serak suara. Dahulu walau pun keputusan peperiksaan Khalish tidaklah seberapa, tetapi abah tetap memuji keputusannya seolah-olah dia telah menjadi pelajar cemerlang di sekolahnya. Ketika di asrama, abah dan ibu kerap mengunjunginya walau pun asrama Isha lebih dekat berbanding asramanya. Serta sering juga dibekalkan dengan makanan dan pakaian hingga tak habis digunakan. Ketika menghantarnya ke lapangan terbang sebelum dia berangkat melanjutkan pelajaran, Isha lihat abah tak henti-henti mengalirkan air mata. Kesihatan abah terganggu dan melarat hingga beberapa kemudiannya. Apakah abah lebihkan sayangkan Khalish berbanding Isha? Apa kurangnya Isha sebagai anak abah dan ibu? Walau pun Isha tak mampu menjawat jawatan tinggi seperti Khalish kerana pendidikan Isha yang tak memuaskan seperti abah dan ibu harapkan, tetapi Isha tak pernah mengingkari setiap permintaan abah. Segala makan minum, keperluan harian, pakaian dan tempat tinggal telah Isha perkemaskan untuk abah dan ibu bersesuaian dengan kemampuan kewangan yang Isha ada sekarang. Apakah itu juga gagal melekatkan kasih sayang abah kepada Isha?" soal Isha panjang tanpa memberikan peluang untuk bapanya menjawab satu persatu soalannya itu.


Bapanya hanya menghembuskan nafas panjang dan dalam, membiarkan anaknya itu menanti dalam suasana hening petang Ramadhan.


"Abah..." panggil Isha seakan mendesak soalannya dijawab.


Panggilan dan desakan Isha tidak dijawab. Abahnya hanya mampu merenung anak-anak jiran mereka leka bermain di luar pagar sana. Suasana antara mereka semakin sunyi.


Beberapa tahun berselang.


Masih di rumah yang sama dan ruangan yang sama. Isha datang perlahan-lahan mendapatkan abahnya dengan tangannya menatang secawan air minuman. Air kosong. Hanya itu yang dipinta oleh abahnya sebentar tadi.


"Abah, ini airnya," kata Isha sambil meletakkan minuman itu di hadapan abahnya. 


"Isha, duduk sekejap," sebaik berpaling untuk masuk ke dalam rumah, dia dipanggil oleh bapanya membuatkan langkahnya terganggu.


"Ya, abah..." balasnya sambil duduk perlahan di sebelah abahnya. Juga masih dalam kedudukan yang sama.


"Lebih dua puluh tahun dulu, abah pernah merasa bahawa abah adalah lelaki yang paling bertuah. Paling disayangi tuhan kerana Dia telah meminjamkan abah sesuatu yang abah tak dapat cari di mana-mana tempat lain dalam dunia ni," abahnya memulakan bicara tanpa sebarang tanda pengenalan.


"Abah telah mendirikan perkahwinan selama lebih tujuh tahun dengan ibu kamu. Selama itu, rumah ini, hidup kami hanya dihuni oleh kami berdua. Tiada orang lain untuk mengisi ruang-ruang kosong antara dinding-dinding rumah ni. Tapi pada suatu hari, abah bagaikan mahu melompat kegilaan bila ibu kamu menyampaikan satu berita gembira yang abah tunggu-tunggu. Berita yang abah jangka takkan abag terima lagi memandangkan usia perkahwinan kami sudah begitu lama.


Sembilan bulan kemudian, satu seksaan yang amat pedih telah abah lalui buat pertama kalinya dalam hidup abah. Jiwa abah telah diseksa dan disakiti dengan satu dugaan yang maha berat walau pun abah masih lagi belum bergelar bapa. Ketika itu, 48 jam ibu kamu berada di dalam wad kecemasan kerana dia menghadapi masalah untuk melahirkan anak sulung kami. Waktu itu, abah tidak pandai mengalirkan air mata kerana terlalu sibuk mencari-cari jalan penyelesaian kepada masalah kewangan supaya dapat menampung perbelanjaan pembedahan ibu kamu yang pasti memakan ribuan ringgit. Selama dua malam berturut-turut, abah hanya lena seketika di atas lantai hospital dan langsung tidak menjamah sebarang makanan. Cuma tegukan air paip ketika wudhu' yang mampu melegakan keperitan tekak abah. Abah tahu, ketika itu terdapat dua nyawa yang amat memerlukan perhatian abah, sebagaimana abah amat memerlukan mereka terus selamat dan kembali ke dalam dakapan abah.


Syukur alhamdulillah, dugaan itu abah rasakan cuma berlalu sebentar bila abah melihat ibu kamu diusung keluar dari dewan bedah dengan sesusuk tubuh comel dalam dakapannya. Waktu itulah, abah mulai menangis buat pertama kalinya. Abah rasakan, semua objek yang ada di sekeliling abah pudar dengan tiba-tiba. Semakin lama semakin sayup meninggalkan abah. Cuma yang abah nampak di depan mata adalah seorang bayi yang sangat comel. Demi tuhan, kuasa Allah memang tak dapat abah bayangkan bentuknya bila melihat bayi itu tersenyum tanpa diusik walau pun matanya terpejam rapat. Mungkin dia sedang mengucapkan salam rindu kepada orang yang tidak pernah dia jumpa tetapi selalu dekat dengannya.


Pertama kali abah menyentuh kulit bayi itu, segala keegoan abah sebagai seorang lelaki tiba-tiba lumpuh dan mencair seolah kelembutan pipi, dada, lengan dan kaki bayi itu mempunyai satu kuasa magis. Amat dahsyat hingga mampu mematahkan kekentalan hati lelaki abah. Sekali lagi abah menangis. Dalam tangisan itu, abah telah menanamkan satu janji supaya abah sanggup meletakkan segalanya di hadapan termasuk nyawa abah sendiri semata-mata mahu melihat bayi itu membesar dengan sihat dan selamat.


Sesampainya di rumah, perkara pertama yang abah lakukan selain mengemaskan tempat tidur untuk si kecil itu adalah mencukur misai dan janggut dengan selicinnya. Ibu kamu hanya mampu tertawa kecil melihatkan perlakuan pelik abah. Abah tak kisah, apa yang abah tahu abah takkan sesekali menyakiti kulit lembut bayi itu dengan cucukan pedih daripada misai dan janggut tatkala abah mencium pipinya."


Mata Isha terpaku memandang riak-riak air kosong di dalam cawan abahnya sambil telinganya terus dilekapkan pada butir-butir perkataan yang keluar dari mulut abahnya.


"Malam itu, abah langsung tak tidur kerana abah amat mengagumi pinjaman tuhan yang satu ni. Abah rasakan, abah perlu mulai menerima kenyataan bahawa orang yang abah tunggu sekian lama telah benar-benar wujud di depan mata abah buat abah dukung, timang, cucikan najisnya, dan ajarkannya bertatih kelak.


Masih teringat lagi bagaimana jari-jari kaki bayi itu yang secantik butir-butir manik kristal memijak kedua-dua kaki abah sambil jejari comelnya menggenggam ibu jari abah pada suatu petang. Itulah kali pertama bayi itu belajar berjalan. Kali pertama tapak kakinya mula melangkah. Demi tuhan, abah takkan menukarkan saat-saat manis itu dengan apa pun di dalam dunia ini jika ditawarkan. Bagi abah, saat itu terlalu bermakna dan tidak ternilai harganya untuk ditukarganti.


Enam tahun kemudiannya, sekali lagi abah tak dapat melelapkan mata pada suatu malam. Abah sangat bimbang apa yang anak itu bakal tempuhi keesokan harinya apabila kali pertama dia melangkah ke sekolah. Adakah dia mampu duduk bersama anak-anak lain yang tidak dia kenali. Adakah dia tidak menangis apabila tidak melihat abah di sisinya. Mampukah dia bermain bersama anak-anak yang lain tanpa abah menemani. Adakah dia pandai beratur di kantin untuk membeli makanan sambil berebut-rebut dengan anak-anak lain tanpa abah mendukungnya. Adakah dia bakal tenggelam di dunia luar rumah. Sesunggunya, abah tak akan sanggup melihat dia duduk ketakutan sendiri. Hingga pagi abah tak mampu melelapkan mata."


"Isha..." mata Isha melirik ke arah wajah orang yang memanggil namanya. Genangan air mata sudah semakin jelas berkaca di kelopak matanya. Terkebil-kebil dia menahan agar tidak jatuh berjurai.


"Petang esok, kamu bakal dinikahkan dengan lelaki yang kamu pilih. Lelaki yang abah yakin mampu menggantikan diri abah sebagai pelindung kamu, sebagai peneman kamu. Bukan hanya menemani kamu bermain atau ke sekolah ketika kecil, tetapi juga orang yang dapat meminpin tangan kamu ke pintu syurga. Ketahuilah bahawa, kamu adalah anak kesayangan abah sejak kali pertama abah melihat kamu tersenyum ketika kulit kamu masih merah di dalam dakapan ibu kamu lebih dua puluh tahun lalu. Tiada apa pun yang dapat menandingi rasa bangga abah kerana memiliki kamu sebagai anak abah. Biar pun kamu tidak mampu mengejar cita-cita menjadi orang besar, biarkan kamu hanya dapat menyediakan kehidupan serba sederhana buat abah dan ibu sebagai balasan, biar pun abah selalu gagal memenuhi kemahuan kamu sejak kamu pandai bercakap, tapi percayalah... Kamu adalah kesayangan abah sampai bila-bila.


Kesayangan dan kebanggan abah..." perlahan abahnya menamatkan bicara.


"Abah!" Isha bingkas menerpa ke arah abahnya dan memeluk lutut lelaki tua itu sekuat-hatinya sambil menangis teresak-esak...


-ini adalah kisah rekaan hari Jumaat.
-petang ni aku nak ponteng la, cari kerja kat luar.

14 comments:

Nizam.Ariff Says:
August 3, 2012 at 11:56 AM

aku mahukan pengakuan ikhlas darimu...


kamu menangis tak masa tulis karangan ni?



cepat jawab. kalau tipu, batal pahala pose...

SM Says:
August 3, 2012 at 11:57 AM

rasa sebak macam tengok filem `anjali'. hahaaa!

Nizam.Ariff Says:
August 3, 2012 at 12:02 PM

aku pun.. keh keh keh


walau aku hanya membacanya...

errr... tapi aku tetap macho!

SM Says:
August 3, 2012 at 12:04 PM

macho kena jaga sentiasa. hahaaa!

Lady Windsor Says:
August 3, 2012 at 1:18 PM

aku bitau ko, ini cerita rekaan ko paling bagus...tak mustahil 20 tahun lagi, cerita ini akan jadi sangat berharga!

mohon simpan untuk rujukan watak bernama isha dan khalish tu...

sepa Says:
August 3, 2012 at 8:01 PM

sedih criter ko... jujur aku cakap, berkaca mata aku baca, cuma tak menitik berjurai...

*ada satu criter, jugak tentang pak dan anak yg pernah buat aku tersentuh, "Homeless to Harvard"... part pak dia cakap : good luck to you, i cannot make it, you can.!
*

eh. ko tengok la criter tuh...!


bila kita ada anak sulung pompuan, dan kedua pompuan... selalunya susah nak melebihkan antara yg sulong atau yg kedua... selalunya aku melebihkan yg kedua, walaupun sebenarnya kenangan sukaduka dan kenangan susah dilupakan ada bersama sama dengan anak sulong... satu jeh sebabnya - untuk mengekalkan harmoni, sebab anak kedua selalunya ingin perhatian yg lebih lagi, kerana jiwa mereka lebih senang memberontak...

eh... apa yg aku bebel nih.

*apaapa hal aku suka jalan criter ko, bang. syabas.!!!

SM Says:
August 4, 2012 at 6:54 PM

LW: dalam setahun pun dah banyak lagi cerita yang lagi power. Tak percaya, pergi ch951 asstro.

sepa : orang kata anak/cucu sulung ni dia punya feel lain macam sikit. Kau ni banyak pulak stok filem baik. Dvd dia ada tal?

Lady Windsor Says:
August 6, 2012 at 8:30 AM
This comment has been removed by the author.
Lady Windsor Says:
August 6, 2012 at 8:32 AM

Sepa,
Aku anak no 2..memang memberontak jiwa, tapi dengan cara aku sendiri la..dan masa kecik adalah tidak menceriakan...sebab aku anak nombor dua..apa-apa pun aku tak pernah dapat barang 1st hand...dah lebih2 baru dapat ke aku, tapi aku tak salahkan mak bapak aku..malah aku suka jadi anak nombor dua sebab kalau ko tengok ramalan bintang (chehh aku tak percaya tapi aku suka baca layan kepala otak), anak no dua ni isolate, remote, rebel, indiependent dan segala bagai yang anak no 1 tak ada dan tak akan buat...kan? kan ke best tu...

sepa Says:
August 6, 2012 at 10:54 PM

Lady Windsor,

aku no.4.

no.4 nih bangsa cool. hensem-maco gitu...

*oya, no.2 tak isolate yer. tapi no.3.


eh. nak tanya. mana satu blog ko yg nak di folo.?! banyak nar blog eh...
nak folo.

:)

Telor Power Says:
August 7, 2012 at 12:14 AM

gua tinggal jejak kejap disini. nanti wa dtg baca balik.

(paling panjang entri kali ni)

Lady Windsor Says:
August 7, 2012 at 7:40 AM

Sepa,

Ahh aku tak kira...no 2 memang isolate...kalu ko tak cayer..rumah aku pun isolate dan aku pun isolate...ko tanyer dak SM...wakaka...nak juga isolate tu!

Rai Says:
August 8, 2012 at 11:32 AM

aku rasa boleh buat panduan utk masa depan..

ayobkelubi Says:
August 8, 2012 at 3:09 PM

SM

samalah macam gua.

gua tunggu tujuh tahun nak dapat ain safiyyah.sebab tu nyawa gua #1!.