Analisis Faktor Utama Penceraian Bagi Pasangan Muda Di Malaysia Serta Cadangan Menyelesaikannya

| Monday, July 30, 2012 | |
SATU


Nama aku, Nik Burhanuddin. Teman-teman aku ramai yang memanggil aku dengan nama Nik sahaja manakala pekerja-pekerja aku sudah semestinya memanggil aku dengan nama `bos' kerana aku yang membayar gaji mereka setiap bulan. Pagi ini aku perlu menghadirkan diri ke sebuah tapak projek untuk briefing berkenaan tender membina dewan sekolah di sebuah daerah di pekan Tanjung Karang. Jadi, aku telah keluar dari rumah seawal jam 7:00 pagi untuk mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sekitar Damansara dan Sungai Buloh dengan ditemani oleh pemandu aku, Sulaiman.


Perjalanan berjalan lancar walau pun cuaca agak kurang menyenangkan kerana hujan lebat yang turun sejak lewat malam tadi masih belum reda sepenuhnya. Sejam duduk di kusyen belakang Lexus GS350 iaitu kereta kedua aku tahun ini, badan aku mulai terasa sejuk membeku. Mujur trafik berjalan lancar dan tidak terganggu oleh hujan pagi ini. Tambahan pula, hampir tidak terdapat langsung penunggang motosikal yang biasanya mencelah antara kenderaan dan sekaligus mengganggu fokus pemanduan Sulaiman. Mungkin kerana hujan, jadi mereka selesa berteduh di bawah jejantas pejalan kaki dan kaki lima kedai yang masih belum memulakan perniagaan. Elok juga begitu.


Tengahari, aku sudah sedia sampai di pejabat aku yang terletak di sebuah bangunan baru empat tingkat di Kepong. Syarikat pembinaan yang aku miliki baru berpindah ke pejabat baru yang lebih selesa ini lebih kurang dua bulan lalu. Dengan kemudahan persekitaran yang lengkap seperti tempat letak kereta yang dikhaskan untuk aku, restoran francais di tingkat bawah serta stesen bas dan teksi berhampiran, memudahkan urusan pergi dan balik pekerja aku dari rumah ke pejabat. Hari masih lagi awal. Disebabkan sekarang adalah bulan Ramadhan, jadi tiadalah sesi makan-makan selepas selesai sesi briefing pagi tadi. Kalau tidak, mungkin agak lama juga aku, beberapa konsultan dan pegawai dari kementerian berborak. Jadi, kami masing-masing mengambil keputusan untuk pulang sahaja sebaik urusan dokumentasi selesai. Hari ini aku berhajat membenarkan para pekerja aku pulang lebih awal untuk memberi peluang kepada mereka berbuka bersama keluarga tanpa perlu tergesa-gesa menyiapkan hidangan atau mencari juadah di bazaar ramadhan.


Di rumah, isteriku seorang suri rumah sepenuh masa sudah siap menyediakan hidangan berbuka puasa dengan dibantu oleh orang gaji kami yang baru dari Indonesia. Mengikut perancangan, petang ini sesi berbuka puasa kami akan disertai oleh Dato' Jamil sekeluarga kerana kelmarin Dato' Jamil telah mempelawa kami berbuka bersama mereka di Le Meridien. Jadi sebagai balasannya, aku sengaja menjemput mereka sekeluarga merasa hidangan berbuka dari resepi istimewa isteriku. Sejak aku mengahwininya di Cannes lebih dua puluh tahun lalu, dia tetap seorang yang rajin memasak dan memang itulah obsesinya, makanan. Hingga kini dia telah menulis tiga buah buku koleksi masakan tempatan dan barat, tetapi hanya diterbitkan secara kecil-kecilan serta dijual secara dalam talian sahaja.


Jam baru menunjukkan pukul 7 petang. Ada lebih kurang setengah jam lagi sebelum masuknya waktu berbuka. Keluarga Dato' Jamil dijangka akan tiba pada bila-bila masa sahaja. Setelah siap membersihkan diri, aku duduk di atas sofa berhadapan set teater rumah untuk menonton beberapa rancangan tv yang mungkin menarik. Di hujung sudut sana, anak bongsu aku Danish sedang asyik berkomunikasi dengan abangnya yakni anak sulungku yang kini berada di Nottingham melalui laman sosial. Biarkanlah, mereka pun sudah lama tidak berjumpa. Manakala anak kedua aku, Irma tiada di rumah kerana memenuhi jemputan berbuka puasa oleh fakulti pengajiannya.


Mujur juga rumah aku petang ini bakal dikunjungi oleh Dato' Jamil sekeluarga, kalau tidak pasti suasana agak sunyi berbanding biasa kerana banglo tiga tingkat di atas tanah seluas setengah ekar ini tidak mampu dipenuhi oleh suara kami.


Beberapa minit meneliti isi kandungan berita yang tersiar di saluran 107, mata aku terpaku melihat ribuan manusia yang sedang merayakan satu majlis anjuran satu parti politik utama negara. Dengan lautan manusia yang begitu meliputi dataran permukaan tanah, aku begitu kagum dengan keharmonian yang berjaya mereka tunjukkan. Langsung tiada keganasan yang dipaparkan. Semua orang bersama-sama menyanyikan lagu tema dengan wajah riang. Ada juga yang menari sambil berpelukan sesama pasangan. Perasaan aku bertambah tenang.


Lantas hati aku memanjatkan kesyukuran kerana keamanan yang aku nikmati di negara sendiri ini amatlah tiada tolok bandingnya.




DUA


Nama aku Fadil. Aku adalah seorang penjawat awam yang bertugas sebagai juruteknik berkuasa tempatan di Kuala Selangor. Telah lebih lima tahun aku bertugas di situ sejak ditukarkan dari Shah Alam. Hari ini, seperti hari-hari sebelumnya aku menunggang motosikal Honda EX5 model tahun 1998 pemberian arwah ayah aku dahulu. Walau pun hujan masih lagi renyai dan sukar untuk mengetahui bila akan berhenti kerana waktu masih lagi awal pagi, aku tetap juga meneruskan hajat untuk ke tempat kerja. Apa kan daya, aku perlu sampai tepat pada masanya ke pejabat untuk mengelakkan laporan punch card bulanan tertulis nama aku untuk bulan ini sebagai pekerja yang bermasalah.


Berbekalkan baju hujan jenama OUA yang dibeli dari supermarket berhampiran, aku meneruskan perjalanan ke tempat kerja sejauh 12 kilometer yang dirasakan semakin jauh. Ini kerana aku terpaksa menunggang dengan lebih berhati-hati memandangkan visor yang aku pakai telah pun kabur dan juga bagi mengelak kereta yang sesekali meluncur laju di sebelah aku. Aku tidak mahu terlibat di dalam kemalangan ngeri seperti yang berlaku betul-betul di hadapan mata aku petang semalam di mana seorang lelaki telah digilis oleh sebuah bas sekolah setelah bergesel dengan sebuah kereta. Aku kira, pemandu kereta itu tidak menyedari akan kemalangan itu kerana cuaca yang juga buruk seperti ini.


Di tempat kerja, walau pun aku berjawatan juruteknik, tetapi pendapatan bulanan aku adalah antara yang paling sedikit berbanding pekerja teknikal yang lain kerana aku hanya memiliki sijil dari sebuah politeknik. Oleh sebab itu, aku tidak pernah terfikir untuk memiliki kereta walau aku kini telah memiliki tiga orang anak berumur antara tiga hingga lapan tahun. Desakan demi desakan oleh isteri aku selama ini aku hanya buat tidak endah sahaja kerana dalam fikiran aku, ada perkara yang perlu aku bahagikan daripada gaji RM1268.55 yang aku terima seperti sewa bulanan berjumlah RM450, bil elektrik berjumlah RM50, hutang peti sejuk dan mesin basuh dari Court Mammoth berjumlah RM300, perbelanjaan persekolahan anak sulung aku, hutang PTPTN dan juga yang lebih penting duit untuk membuatkan dapur aku berasap. Mujur juga aku tidak perlu membayar bil air walau pun hanya beberapa ringgit.


Tambah malang lagi, isteri aku baru sahaja menjadi mangsa ragut minggu lalu ketika sedang menuju ke pasar pagi. Habis baki perbelanjaan dapur kami yang disimpan di dalam beg tangannya lesap. Itu bukan kali pertama kejadian tersebut menimpa isteri aku, malah sudah banyak juga kes yang sama berlaku di sekitar kediaman kami. Entah di mana silapnya, pondok polis yang tersergam di simpang jalan masuk ke rumah kami sering tidak berpenghuni. Jika tidak, pasti kejadian minggu lalu tidak berlaku kerana jarak kejadian itu dengan pondok polis hanya beberapa puluh meter sahaja. Kebetulan pula, malam sebelumnya rumah jiran aku yang terletak selang dua buah rumah telah dimasuki perompak. Habis semua barang berharga dan wang tunai dikebas. Namun, mujurlah mereka sekeluarga tidak diapa-apakan, hanya dikurung di bilik tidur hingga pagi.


Tidak ada apa-apa yang menarik berlaku sepanjang hari ini di tempat kerja melainkan aku telah disuruh oleh pegawai kanan aku untuk menggantikannya menghadiri sesi briefing di sebuah sekolah yang aku tidak tahu di mana. Tetapi arahan tersebut terpaksa aku ingkari kerana jarak perjalanan dari pejabat ke tapak projek itu pasti akan memakan lebih separuh isi di dalam tangki minyak motosikal aku. Aku tidak boleh membiarkan ini berlaku kerana kiraan matematik yang aku lakukan bagi perbelanjaan minyak petrol sudah cukup lengkap hingga tibanya hari gaji.


Petangnya, setibanya aku di rumah, segala keletihan saraf aku dapat dilegakan sebaik aku merebahkan tubuh ke atas tikar getah di tengah ruang tamu dengan kepala beralaskan bantal kekabu sambil menunggu waktu berbuka. Jari-jari tanganku masih terasa sejuk kerana kombinasi suhu sejuk janaan penghawa dingin di pejabat sepanjang hari dan hujan gerimis yang menemani aku sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Petang ini aku hanya mandi dengan ala kadar sahaja. Cukup untuk menyegarkan badan seadanya.


Anak bongsu aku Nurul Ain pula sedang asyik menconteng-conteng ke atas sekeping kertas bekas pembalut sayur sawi di sebelahku. Kasihan dia, dia adalah anak kecil yang amat suka melukis tetapi malangnya selalu menggunakan peralatan lukisan dan kertas lukisan terpakai milik kakaknya, Sara. Bukannya aku enggan membelikannya bahan yang baru, tetapi aku sering sahaja keputusan wang setiap kali dia membuka mulut untuk meminta aku membelikannya itu dan ini. Tidak mengapa, aku harap bonus pada tahun ini dapatlah aku membelikannya sesuatu. Itu pun jika masih berbaki setelah ditolak dengan baju raya mereka tiga beradik.


Ketika mata aku hampir terlelap, tiba-tiba lapisan kanta mata aku tertumpu pada visual segerombolan umat manusia yang berhimpit-himpit di kaca tv aku. Aku cuba menggosokkan mata aku agar pandangan aku lebih jelas, namun tindakan aku itu tidak mendatangkan banyak perbezaan. Kekaburan yang amat nyata itu berpunca daripada antena tv aku yang sudah senget di atas bumbung sana. Kata kawan aku, aku patut melanggan Asstro kerana siarannya lebih jelas walau pun dalam keadaan hujan gerimis seperti sekarang. Tetapi aku tetap juga enggan kerana bayaran bulanan paling rendah sebanyak RM37.95 adalah suatu yang mahal pada aku.


Setelah mata aku meneliti visual dan telinga aku mengamati audio yang kurang jelas, barulah aku sedar manusia-manusia di dalam kaca tv sana sedang berhimpun meraikan sesuatu acara yang aku sendiri kurang jelas akan tujuannya. Salah satu teks yang dapat mata aku tangkap di bahagian bawah skrin tv aku adalah `bukti keamanan' atau entah apa agaknya.


Oh, mungkin mereka sedang berpesta meraikan keamanan yang negara sedang kecapi sekarang. Ah, aku peduli apa. Yang penting sekarang, aku terlupa untuk bertanyakan kepada isteri aku di dapur tentang beras yang tinggal sedikit semalam.




Sekian...


-tajuk sebenar entri ini adalah `Menikmati Keamanan'.
-suka hati aku la nak bubuh tajuk apa pun, hahahaaa...!

8 comments:

faraherda. razalan Says:
July 30, 2012 at 11:52 AM

Yg technician tu, nape tak suh bininya keje? Klu gaji die kecik, mtk tlg bini la g keje ke ape ke. Ley bantu kurang beban sikit. Huhuhuhuhu...

Sijil poli pun pinjam PTPTN ke? Mmg mcm tu eh? Aku tatau pun. Tp klu setakat sijil, toksahlah pinjam. Ni mst terpengaruh dgn janji manis PTPTN kan? Tlg rakyat konon. Klu nak menolong, bukan menggalak rakyat berhutang. Tapi ajakr rakyat menyimpan duit. Bukan bile dkt pilihanraya, tibe2 jadik pemurah! Arghhh! Menyampahlah aku!

SM Says:
July 30, 2012 at 12:02 PM

sabar, bulan puasa jangan emosi sangat.

Nizam.Ariff Says:
July 30, 2012 at 12:15 PM

hanya orang yang merasa garam tahu akan masinnya, hanya orang yang merasa jadam tahu akan pahitnya, hanya orang yang merasa madu tahu akan manisnya, hanya orang yang merasa cuka tahu akan masamnya...

tokeh kedau tak akan tahu semua tu sebab dia jual, bukan guna.... hahaha

Rai Says:
July 30, 2012 at 12:30 PM

aku nak reply komen fara boleh tak.. haha..

fara,
saya rasa mungkin isterinya belajar tak tinggi. so kalau kerja pun bukan boleh dapat banyak mana. dengan kira kos nak kena hantar anak pegi nursery atau orang jaga. kos nak pegi balik kerja. kos beli baju baru nak pegi kerja..lebih baik jadi surirumah sebab tak berbaloi. just pendapat saya..

sepa Says:
July 30, 2012 at 12:43 PM

TIGA :

Nama aku Sepa. Aku adalah seorang yang hensem-maco. Setiap kali bila aku rasa hensem aku berlebih, atau maco aku berlebih, walaupun rambut tinggal segenggam dua, aku akan memakai bajuTpolo kaler kuning berbelang hitam, berseluar jeans Levi's505 talipinggangnya LEE, ber-cap merah, dan berkasut Puma...

Setiap petang, selepas pulang dari kerja, aku akan duduk di serambi rumah, melihat menghadap jalan, yang sentiasa lengang, kereta yang lalu lalang sangat kurang kerana rumahku tidak terletak di prime area. Kadangkadang suara ombak pecah di pantai, yang 500m jauhnya boleh didengar... walaupun rumahku jauh dari kemeriahan dan pestapesti orang ramai, pemandangan saujana mata memandang Laut China Selatan adalah skrin muviku...

.

bact. Says:
July 30, 2012 at 1:04 PM

padu!

SM Says:
August 1, 2012 at 8:06 AM

Nizam : you've got my point, bro!

Rai : terima kasih sebab mencantikkan cerita aku yang tak sempurna ni.

sepa : apasal tiba-tiba ada sequel ni? hahaa! apa pun brader tshirt polo tu memang betul-betul menghayati eamanan. earn it!

SM Says:
August 1, 2012 at 8:08 AM

batch : hayatilah keamanan...