Warkah Cinta Untukku

| Friday, June 29, 2012 | |
Menemui kekandaku satria idaman yang namamu senantiasa meniti manja di tangkai hati ini, ada pun kehadiran warkah ini ke atas riba kekanda adalah sebagai utusan berisi rindu daripada adinda. Diharapkan kekanda satriaku tidak rasa terganggu dengan layangan warkah adinda yang tidak seberapa ini.


Wahai kekanda pujaan hatiku, hampir setiap hari adinda memerhatikan kelibat kekanda memacu kuda tunggangan kekanda dengan penuh bergaya dan gagah perkasa. Di saat itu, jantung adinda yang telah sedia berentakkan irama cinta dan bersulamkan juntaian suasa kasih dirasakan semakin berbau harum. Demi Tuhan, adinda sanggup menahan matahari daripada menongkatkan dirinya di pucuk langit agar dapat menghentikan masa walau pun untuk seketika, supaya dapatlah kiranya adinda melemparkan `ciuman terbang' ke arah kekanda ketika itu. Biarlah hanya terkena sipi di kolar baju kekanda, tidak mengapa. Asalkan meninggalkan bekas lantas mengiringi hari yang kekanda tempuhi hingga ke petang.


Setiap kali memerhatikan lagak kepahlawanan kekanda yang lebih hebat daripada Iskandar Zulkarnain membelah arena perjalanan serta di celah-celah kuda-kuda tunggangan lebih besar yang lain itu juga, rasa rindu yang telah sekian lama melumuri rongga-rongga hati adinda ini semakin menebal. Tak sanggup rasanya adinda menanggung seksa rindu ini walau untuk sehari pun. Oh, Tuhan... Adinda harap kita dapat dipertemukan untuk bersemuka. Oh, Tuhan... Anugerahkanlah adinda 25 jam sehari agar lebihan waktu itu diperuntukkan untuk kita bersama.


Dengan itu, adinda ingin menyampaikan bahawa kekanda perlu memberi maklumat di ruangan di bawah mengenai butir-butir diri, alamat dan butir-butir lesen memandu orang yang telah memandu kenderaan motor itu kerana kegagalan anda memberikan maklumat sebagaimana dikehendaki di atas dalam tempoh TUJUH (7) HARI dari notis ini dikeluarkan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 115(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 119(2) akta yang sama.


Itu sahaja yang ingin adinda sampaikan buat masa ini. Asalamu 'alaikum. Moga cinta kita kekal terjalin dengan sucinya hingga membawa ke gerbang syurga sana. Insya-Allah.


********************


Kan bagus kalau semua surat cinta daripada para penguatkuasa tak kira polis trafik, pihak berkuasa tempatan atau PTPTN ditulis dengan nada yang mengghairahkan macam ni. Sekurang-kurangnya takde la aku punya marah dan bengang ni sampai ke tahap nak memaki hamun tiang lampu kat sebelah belalang tempur aku hari tu.


Ok, aku mengaku aku ada buat satu kesalahan lalu lintas yang langsung tidak membahayakan nyawa orang lain, jauh sekali untuk mengancam keselamatan rakyat atau ekonomi negara. Kadang-kala sesetengah kesalahan itu memang sengaja aku lakukan, bukan sebab mak aku lahirkan aku sebagai penjenayah tetapi sebab aku banyak tak setuju dengan sebahagian besar undang-undang yang digunakapai di negara ni.


Ya, aku tak bersetuju sebab aku cuma orang kecil. Cuba aku dilahirkan sebagai anak menteri kabinet atau sekurang-kurangnya makcik aku adalah ahli parlimen yang baru setengah penggal pegang jawatan, pasti aku tak akan kisah dengan kebanyakan undang-undang yang ada. Sebab apa, sebab semua tu takkan memberikan bekas langsung kepada kulit aku.


Kalau aku buat kesalahan, aku tetap boleh keluar rumah dengan senang hati tanpa takut digari polis di tengah khalayak ramai. Tapi inilah hakikat kehidupan aku sebagai manusia kecil di bumi yang bermasalah ni. Terpaksa sentiasa berhati-hati agar tidak melanggar sebegitu banyak peraturan yang ada, termasuk la undang-undang `Jangan Pijak Rumput' atau `Dilarang Meletak Motosikal'.


Sekali lagi, pada aku undang-undang tidak mendatangkan masalah besar juga pada aku tapi aku tetap mengamalkan sedikit prinsip Fuck The Law, terutama sekali setelah melihatkan sebuah Proton Perdana warna hitam bercermin gelap yang dihiasi nombor pendaftaran cantik juga diletakkan berhampiran tempat belalang tempur aku ditambat, tetapi langsung tidak menerima surat cinta macam apa yang aku terima.


Ah, pergi jahanam sama lu orang!!!


Lokasi : Presint 4 Putrajaya
Kesalahan : Meletakkan kenderaan di siarkaki - Kaedah 44 Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan L.N 166/59











Ceh, daripada aku menyalakkan bukit kat sini baik aku gerak pergi solat Jumaat sekarang. Dapat jugak pahala iqtikaf dalam masjid sambil main sms macam orang lain. Assalamu 'alaikum.

6 comments:

pok amai-amai Says:
June 29, 2012 at 12:45 PM

Hahahahahahaha! Nak tergelak lak. Dpt surat saman sbb parking tmpt tak betul? Menyakitkan hati kan? Apo ley buek? Nasib moto ko tak kene angkut.

Nizam.Ariff Says:
June 29, 2012 at 2:58 PM

Lorrr... aku ingat si adinda tu bercinta dengan belalang tempur lu...

hahaha

Nizam.Ariff Says:
June 29, 2012 at 2:59 PM

jap... aku nak buat permintaan.

boleh tuliskan surat macam itu untuk aku? lu masuk sikit bab berahi-berahi ni, aku suka... keh keh keh...

Qamaruls Says:
June 29, 2012 at 11:48 PM

sebab kou tongkat motor nie kan??

lenkali kou jgn tongkat, kou baring kan je kat tepi jalan kaki tu. tade saman punya hahaha

SM Says:
June 30, 2012 at 10:03 PM

MF : memang itu port biasa aku parking kalau nak landing sekejap. tapi perdana tu lagi lama daripada aku, apasal takde apa-apa pulak?!!

Nizam : benda-benda macam ni susah sikit nak bikin tiap-tiap hari. kalau aku buat takut kau jatuh cinta kat aku pulak. hahaha!!!

QAMARULS : tak saman, takut kena gelek dengan pajero perbadanan putrajaya pulak!

Telor Power Says:
July 4, 2012 at 1:33 AM

gua nak gelak kejap...hahahaha