Temporary Buddy

| Wednesday, June 27, 2012 | |

Hampir 45 minit bersembang, topik perbualan kami lebih tertumpu kepada kerja, keadaan trafik dan juga perihal sistem pendidikan di Malaysia ni. Seorang lelaki berketurunan India yang aku anggarkan berusia dalam lingkungan lewat 40-an, sedikit ramah dan senang bercerita kalau kena cara mengumpan.


Kehadirannya menemani aku minum bersama itu mungkin secara kebetulan kerana ketika dia tiba di sebuah restoran di Bangsar itu, tiada lagi meja yang kosong. Jadi, aku dengan senang hati menerima kehadirannya tatkala dia meminta izin untuk duduk semeja dengan aku. Berdasarkan sesi minum yang tidak dirancang itu, lelaki yang telah berkeluarga dan tinggal di Taman Miharja ini bekerja sebagai seorang pemandu di sebuah firma guaman selang tiga premis dari situ. Beberapa tahun sebelum itu, dia juga pernah bekerja sebagai pemandu di sebuah firma guaman milik seorang datin di Taman Seputeh tetapi hanya mampu bertahan selama tiga bulan dek kerana tak tahan dengan kerenah bosnya itu.


Tetapi kini, dia nampaknya begitu selesa dan gembira bekerja di situ kerana mempunyai seorang bos yang baik, merendah diri dan memahami pekerja bawahan. Tambahan pulak, bosnya itu bukanlah seorang yang kedekut hingga setiap tahun dia akan dibawa pergi bercuti di dalam negeri dan juga diberikan gaji yang bagus, lebih tinggi daripada gaji aku!


Berkenaan sistem pendidikan pula, dia sedikit khuatir dengan prestasi anak keduanya yang bakal menduduki peperiksaan UPSR penghujung tahun ini kerana keputusan peperiksaan percubaannya yang tidak begitu baik. Baginya, anaknya yang terpaksa menduduki tujuh kertas peperiksaan perlu mengelak daripada mendapat E dalam mana-mana matapelajaran jika tidak mahu melalui kelas peralihan. Perkara seperti itu juga boleh dianggap sebagai salah satu beban yang terpaksa ditanggung oleh anak-anak di Malaysia. Bersaing dalam perkara-perkara yang tidak sepatutnya. Dia juga memuji mutu dan sistem pendidikan yang diamalkan oleh sekolah antarabangsa seperti sekolah yang dihadiri oleh anak bosnya. Tapi apakan daya, orang sepertinya (dan aku) tak mungkin mampu menghantar anak belajar di sekolah seperti itu.


"Terima kasih bos..." Begitulah ucapan yang dia berikan kepada aku sebaik aku meminta diri dan bangun untuk meneruskan hajat aku ke destinasi penting pagi tadi. Ala brader, apa ada hal setakat kopi panas segelas. Aku pun nak ucap terima kasih jugak sebab sudi bersembang dengan aku. Sekurang-kurangnya aku tak la nampak macam orang bodoh duduk termenung depan kulit telur dan piring bekas roti bakar.


Terima kasih juga.


Sekian entri temujanji tak dirancang.
Dia bukan perokok,
tetapi mungkin juga penggemar kopi seperti aku.


-seronok jugak bersembang dengan orang yang aku tak kenal langsung.

4 comments:

naziyatul fatihah Says:
June 27, 2012 at 6:47 PM

betul..
kadang2 kemesraan yang wujud itu agak luar biasa seolah dah pernah kenal :D

Ujie Says:
June 27, 2012 at 6:53 PM

7 paper utk upsr..byk.

kdg2 best borak dgn org yg kita tak kenal..sbb ada cerita baru yang boleh kita dengar/bualkan.

Telor Power Says:
June 27, 2012 at 9:49 PM

mmg seronok...tambah2 pula kalau org tu kaki sembang dan mesra. jadi kita tidak merasa kekok untuk menjawab jika ada soalan yg diajukan

SM Says:
June 28, 2012 at 7:47 AM

naziyatul : ya, sebab tu aku suka sembang dengan orang tak kenal. kat bawah fly over masa hujan, supermarket atau bus stop. tapi ikut mood jugak.

ujie : baru aku tau, ada pendapat mengatakan orang india yang bekerja di bawah bos india mungkin akan banyak konflik. tapi tidak pada dia.

TP : brader ni memang pandai borak kalau kena caranya. nak offer makan, tapi dia menolak pulak.