Kiub Budak Enam Tahun

| Sunday, June 10, 2012 | |
Pagi itu seperti biasa kami akan berkumpul di dalam kelas untuk melakukan aktiviti membina secara individu atau berkumpulan, atau lebih tepat lagi bermain. Dan seperti biasa juga, aku tetap maintain cool dengan apa yang berlaku di kalangan budak-budak berumur enam tahun di sekeliling aku. Orang kata `bo layan'.


Dalam kebingitan kelas itu, cikgu pertama yang aku dah lupa nama dan rupanya  telah mengeluarkan beberapa botol gam bersaiz sederhana dan sebuah kotak berisi habuk pensil. Di sini, kami telah mula menggunakan pengasah pensil yang canggih (pada zaman itu) untuk menajamkan mata pensil. Masukkan bahagian mata pensil yang ingin diasah, kemudian putarkan pemegang kecil mesin itu hingga putarannya terasa ringan. Kemudian, pensil yang kami keluarkan itu kembali tajam dan sedia untuk digunakan.


Setelah cikgu kedua yang juga aku sudah terlupa akan nama dan rupanya siap membahagi-bahagikan kertas berkualiti rendah saiz A4 kepada kami, cikgu pertama berdiri tegak di tengah kelas sambil memandang sekeliling.


"Murid-murid semua, pagi ni kita belajar pendidikan seni. Mula-mula, kamu sapukan gam kat atas kertas kamu ikut apa saja bentuk yang kamu suka. Kendian, tak payah tunggu kering. Terus tabur habuk pensil ni kat atas kertas kamu semua..." Katanya kepada kami. Cikgu kedua berada di hujung kelas, juga memerhatikan kami.


Antara dengar dan tidak serta suasana yang masih lagi berbunyi seperti langau menghurungi taik, kami cepat-cepat mencapai botol gam yang disediakan. Sesiapa yang gagal dalam perebutan botol gam, terpaksa menunggu giliran oleh kerana jumlah gam yang diperuntukkan tidak mencukupi untuk semua orang.


Seperti biasa lagi, aku terpaksa menunggu dua orang budak di sebelah dan hadapan aku habis melakar bentuk sebelum aku dapat memulakan kerja. Di antara semua, ada yang melukis bentuk rumah dengan serombong asap walaupun rekabentuk rumah sebegitu hanya dipraktikkan di negara-negara barat, ada yang melakar bentuk kucing tetapi menyerupai setan bertanduk dan ada juga yang melakar gambar sendiri yang seperti projek perumahan terbengkalai. Yang menjadi perhatian kanak-kanak lain dan kedua-dua cikgu adalah Didit. Dia melakar sebuah kereta sport dari pandangan sisi. Beberapa orang memuji lakarannya yang cantik, termasuk cikgu pertama.


Tiba di tempat aku, kedua-dua cikgu memerhatikan kertas A4 di tangan aku yang sudah siap disapu gam dan sedia untuk ditabur habuk pensel. Dengan dahi berkerut, cikgu pertama bertanya apakah objek yang aku cuba lakarkan.


"Kotak, cikgu," jawab aku ringkas. Kedua-dua cikgu tadika itu saling berpandangan dan mengerutkan dahi seraya tersengih. "Otak?" Masing-masing bertanya dalam menahan gelak. Mungkin kerana mereka tak tahan melihat bentuk `otak' yang cuba aku terjemahkan, atau tak sangka bahawa aku mampu berimaginasi `otak' manusia adalah berbentuk kiub!


Celaka. Aku cakap lain, cikgu ni dengar lain. Mentang-mentang la masa tu aku tak pandai lagi baca ABC sampai habis, takkan la aku ni bongok sangat sampai tak dapat bezakan `kotak' dengan `otak'. Kepala otak dia la.


******************************


Begitu la aku. Sehingga sekarang aku cuba menjalani hidup yang seringkas mungkin tetapi mampu melihat dan dilihat dalam dimensi yang berbeza-beza. Sama macam `otak' yang aku cuba lakarkan hampir 30 tahun lalu. Kalau kanak-kanak lain cenderung mengambil objek dua dimensi sebagai hasil lukisan seperti gambar bunga, kereta atau rumah dengan dihiasi objek-objek sampingan, tetapi semua itu tetap dua dimensi. Tiada perspektif atau tidak mempunyai unsur isometri.


Manakala aku lebih selesa menghasilkan sesuatu yang ringkas, tetapi mempunyai makna yang pelbagai serta lain daripada yang lain. Kan elok kalau dulu aku tidak menyebut `kotak' kepada kedua-dua cikgu itu, sebalik aku menjawab `cikgu, saya lukis kiub dalam bentuk tiga dimensi tetapi dilihat dari pandangan isometri, mulanya saya menjangka dapat menghasilkan pandangan perspektif tiga titik agar lebih realisitk tetapi saya memerlukan kertas yang bersaiz lebih besar'. Mau terduduk cikgu-cikgu tu. Dia ingat aku ni siapa nak tahan gelak macam tu.


Mesti bila balik rumah, mereka akan bercerita kepada kawan atau keluarga masing-masing tentang seorang anak murid yang mahu melakarkan bentuk otak manusia tetapi menyerupai kotak sabun!


Sekian entri kenangan di tadika...


-kisah ini berdasarkan peristiwa benar yang aku lalui semasa tadika, bukan tipu sebab aku tak nak jadi PENIPU!

8 comments:

Lady Windsor Says:
June 10, 2012 at 1:08 AM

Waaa terer ya ko melukis..aku masuk form 4 baru pandai melukis..tu pun sebab ambik lukisan utk exam.

SM Says:
June 10, 2012 at 7:10 AM

terer sangat sampai diorang ingat aku lukis `otak'.

Telor Power Says:
June 10, 2012 at 5:06 PM

jika lukisan tu masih dalam simpanan ko .aku percaya ianya akan jadi lukisan yang sangat mahal....

manatahu ianya setanding dengan si picasso tu

reen afny Says:
June 10, 2012 at 9:12 PM

haha lawa la tu kau lukis untuk budak2 tadika... mesti comey ek time tadika. botak ke time tu?? hihiihi

reen afny Says:
June 10, 2012 at 9:13 PM

bro TP... ayat tu perli ke apa =.= haha

Telor Power Says:
June 10, 2012 at 11:55 PM

reen : aku cakap benda betul...

kita mana tahu, manusia zaman sekrang semua pelik. minat pun bukan2.

dan ramai jurutera sekarnag ni pun banyak ambil idea2 dari zaman lampau mereka. tak kurang juga ambil idea dari budak dari tadika

SM Says:
June 11, 2012 at 10:38 AM

ra : aku sejak lahir lagi dah comel.

TP : gua setuju bab minat pelik-pelik tu. sebab tu orang kata "berikan kertas dan pensel kepada budak 7 tahun, maka sesuatu keajaiban bakal berlaku".

Telor Power Says:
June 11, 2012 at 8:40 PM

SM : betul aku sokong....kerana fikiran mereka lebih halus dan telus