Ekspedisi Hidup Mati

| Friday, June 08, 2012 | |

Laporan Pertama
Tarikh : 23 Mei 1989
Ahli Ekspedisi : 3 orang
Objektif : Mengumpul data-data dan kesan fenomena air pasang surut di pantai barat Semenanjung Malaysia.
Penemuan :
Hasil kajian yang dijalankan sepanjang beberapa batang sungai yang menganjur hingga beberapa kilometer ke kawasan hutan simpan dan kawasan sekitarnya telah merumuskan bahawa air pasang surut secara langsung telah mempengaruhi ekosistem walau pun di kawasan yang tidak dicapai oleh air payau. Dua spesis amfibia yang menyerupai kodok juga telah ditemui dan masih dalam peringkat kajian terhadap sampel hingga ditentukan asal-usulnya sama ada spesis tempatan atau pun spesis penghijrah dan enggan pulang ke tempat asal kerana sudah selesa menetap di tempat baru. Walau bagaimana pun, telah berlaku satu penemuan yang mengejutkan ahli-ahli ekspedisi. Di sebuah kawasan hutan simpan yang menjadi sempadan antara dua buah negeri terdapatnya beberapa kesan tinggalan yang dipercayai binaan manusia berusia hampir 100 tahun lalu. Bentuk binaan-binaan tersebut lebih menyerupai rumah ibadat kerana menggunakan bahan daripada batu pejal. Oleh kerana kesuntukan masa, bekalan makanan dan keletihan fizikal yang teramat sangat, ekspedisi ini terpaksa dihentikan memandangkan objektif sebenar telah pun tercapai.


Laporan Kedua
Tarikh : 25 Februari 2007
Ahli Ekspedisi : 5 orang
Objektif : Mengenalpasti kesahihan, ketulenan dan butiran terperinci atas penemuan terbaru oleh ekspedisi sebelumnya.
Penemuan :
Gagal mengesan lokasi keseluruhan sisa binaan berdasarkan lakaran asal oleh ekspedisi terdahulu. Kebarangkalian sisa-sisa binaan telah terkambus sepenuhnya berdasarkan kesan banjir besar yang diperhatikan pada objek-objek semulajadi yang meliputi keseluruhan kawasan kajian iaitu hampir 9.5 hektar.


Tarikh : 9 Mei 2012
Perkara : Ekspedisi Mengesan Kesan-Kesan Runtuhan Penempatan Manusia dan Pemetaan Lokasi Dengan Terperinci.
Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas, tuan (nama-nama seperti lampiran) dikehendaki mengikuti ekspedisi yang dijadualkan akan dimulakan pada 26 Mei 2012 hingga 31 Mei 2012. Segala perbelanjaan, kenderaan, tempat tinggal, makan minum serta keselamatan hidup dan mati adalah atas tanggungjawab sendiri. Harap maklum.
Sekian, terima kasih.


********************


Awal bulan lalu, aku telah menerima sepucuk surat musibah dari pihak atasan yang telah membuatkan dada aku sebak hingga air mata aku mengalir melalui kedua-dua lubang hidung. Manakan tidak, surat arahan yang aku terima itu seakan-akan surat yang menentukan tarikh hukuman mati bagi seorang pencuri susu formula di pasaraya. Atas pengetahuan aku yang sedikit dan info berkenaan ekspedisi terdahulu, tempat yang bakal aku jelajahi bersama-sama tiga lagi lelaki malang merupakan sebuah kawasan hutan simpan yang jauh terletak di hujung ceruk pengetahuan manusia. Tambahan pulak, terdapatnya tiga kes orang hilang dan dua kes helikopter tentera terhempas di kawasan itu sejak 15 tahun lalu. Seriau aku!


Tapi memandangkan aku telah berazam untuk menjadi manusia yang bakal meninggalkan sumbangan besar terhadap pembentukan dan perkembangan ketamadunan sebuah negara yang dinamakan Malaysia, maka keesokan malamnya aku terus mengemaskan segala keperluan peribadi termasuk pakaian bundle heavy duty ke dalam beg galas kuning aku, dengan harapan tubuh aku akan kembali ke rumah sepertimana aku melangkah keluar juga. Tidak lupa juga, aku sempat menunaikan solat sunat hajat tepat jam 2:15 pagi setelah aku menghabiskan masa membaca blog kawan-kawan.


Dipendekkan cerita, setelah menempuh perjalanan memeritkan melalui laluan balak dan berjalan kaki meredah hutan sejauh beberapa kilometer, kami mula tercari-cari tanda-tanda atau segala petunjuk fizikal seperti yang dinyatakan dalam lakaran ekspedisi terdahulu. Namun, segalanya gagal membuahkan hasil walaupun empat hari telah dihabiskan oleh kami. Masuk petang hari kelima, kami sepakat untuk menamatkan ekspedisi tersebut pada keesokan paginya kerana selama di situ kami hanya menemui bangkai pesawat dan jejak babi hutan semata-mata.


Dipendekkan cerita lagi, berkemungkinan Tuhan telah mendengar rintihan hati manusia teraniaya seperti kami, aku sebagai orang paling berpengalaman dalam mengendalikan peralatan underground detector telah dapat mengesan sesuatu pada malam itu secara tidak sengaja. Semuanya berlaku semasa aku sedang membuat kalibrasi berkala pada peralatan berharga hampir setengah juta ringgit sebaik selesai menunaikan solat isya'. Skrin pada data collector aku telah memaparkan suatu objek ganjil tepat pada tempat kaki aku berpijak. Pada mulanya, aku menyangkakan objek tersebut hanyalah tunggul batu biasa atau pun tulang gajah yang berusia ratusan tahun. Namun apabila aku selidiki lebih lanjut, aku amati terdapat banyak lagi objek yang sama berada di sekitar tempat kami mendirikan khemah. Lebih ganjil lagi, kedudukan semua objek tersebut bagaikan disusun mengikut bentuk geometri tertentu dan mempunyai paksi simetri.


Lantas, keesokan paginya sebaik cahaya matahari mula menghulurkan jalurnya dari celah-celah dedaun, kami segera menggali di tempat yang telah aku kenalpasti dan dipancangkan sebelumnya. Tak cukup scoop, kami gunakan tangan dua kerat kami sebagai ganti.


Sekali lagi, cerita ini telah dipendekkan. Aku menganggap misi ketiga ini telah mencapai objektif yang ditetapkan iaitu mengesan lokasi sebenar (memetakan butiran fizikal dan profil topografi), pengambilan gambar dan sampel untuk ujian makmal, serta melakukan inventori awal terhadap semua butiran fizikal. Berikut adalah bukti bergambar.


Objek terakhir yang ditemui, berada beberapa puluh meter dari tempat kami berkhemah.


Objek yang aku kesan kehadirannya pada malam itu, tertanam hampir tiga kaki di bawah tanah. Bermodalkan hampir suku liter air peluh untuk digali.


Berdasarkan laporan awal oleh juruteknik makmal, sisa binaan ini berusia dalam lingkungan lima ribu tahun!


Jalan utama keluar dan masuk ke tapak ketamadunan manusia, buat menyambung hayat kami.


Kini aku yakin bahawa nama aku bakal tercatat dalam buku-buku teks sekolah rendah dan akan dikenang sepanjang kehidupan manusia sebagai manusia penting, kerana berjaya membuktikan Malaysia juga pernah menjadi pusat tamadun yang agung, setaraf dengan tamadun yang lain serata dunia seperti tamadun purba Mesir, Rom, China, Mesopotamia, Maya atau Aztec.


Sekian entri kisah pengalaman yang mengujakan.


-Entri ini adalah tipu belaka! Jadi, sebutir habuk pun jangan percaya. Dulu, aku pernah bercita-cita nak jadi ahli arkeologi. Cuba bayangkan kalau aku adalah sebahagian daripada ini. Tapi apa yang aku lakukan sekarang, macam hampas je...

10 comments:

Rai Says:
June 8, 2012 at 3:02 PM

bila part dapat surat tu terus rasa cam tak percaya sebenarnya.. hehe..

pok amai-amai Says:
June 8, 2012 at 4:22 PM

Knp ko menipu?

SM Says:
June 8, 2012 at 4:28 PM

Rai : cuma imaginasi je.

MF : sila baca statement terakhir yang font kecil tu, dan fahami. jangan jadi kurang cerdik sebab percayakan pasal `spesis kodok', banjir besar dan segala bagai. faham???

Aku Says:
June 8, 2012 at 6:26 PM

aku baru nak kata, batu bercat merah tu macam batu nesan je...

SM Says:
June 8, 2012 at 10:44 PM

Aku : tu batu sempadan rumah kawan aku la. yang terkambus tu kat belakang tandas.

Telor Power Says:
June 10, 2012 at 5:33 PM

aku percaya cerita ko bulat2?

ko kata ko ini cerita menipu adalah ayat utk kaburi pembaca sekalian. bukan?

SM Says:
June 11, 2012 at 11:43 AM

TP : percayalah! cerita ini tidak boleh dipercayai.

Telor Power Says:
June 11, 2012 at 8:35 PM

SM : hahahaha....kalau ianya benar, memang nama lu bakal akan tetcatit di buku2 cetakan akan dtg

jenanese Says:
June 14, 2012 at 2:47 PM

cilakak!!!gua berdebar baca entry ni lu tau tak!!

SM Says:
June 15, 2012 at 12:31 AM

jeb : gua lagi debar masa gali cari benda ni kat belakang tandas rumah kawan gua tu. karang silap gali, memang sumpahan sepanjang hayat.