Dia, Rumah Lot Tepi dan Surau

| Wednesday, June 06, 2012 | |
Hujung minggu lalu... Setelah tamatnya majlis, aku dengan langkah mengada-ngada sengaja menghampiri seorang lelaki berwajah redup yang sedang asyik menyapu sampah di sekitar luar pagar kediamannya. Lelaki ini telah beberapa tahun aku kenali wajahnya oleh kerana kekerapannya menjadi jemaah surau berbanding aku yang cuma setahun sekali (sebab aku bukan qariah situ la!). Tetapi kelibatnya agak sukar dilihat jika dia mempunyai program untuk `keluar' bersama-sama kumpulannya. Jadi, aku kira dia sangat layak dipanggil geng surau oleh pasukan produksi Asstro Prima lain kali.


Berbual dengannya selama hampir lima belas minit cukup untuk aku menambah sebanyak mungkin ilmu di dada aku yang kosong dan kurus kering ni. Bermula dari konsep senibina rumah melayu yang jelas dapat diadaptasi dengan baik di rumahnya sendiri, hinggalah kepada campuran-campuran toksik yang terdapat di dalam air hujan hingga menjejaskan kabel pengikat shade di hadapan rumahnya.


Sebenarnya, sejak dari mula lagi aku telah tertarik dengan lelaki ini atas sebab kerajinan yang dia tunjukkan dan curahkan hingga berjaya menampakkan kelainan pada rumah lot tepi itu berbanding rumah-rumah di sekitarnya. Kemudian, setelah diselidiki melalui tuan yang empunya diri barulah aku dapat tahu bahawa dia adalah seorang arkitek yang mengetuai firma arkitek di Shah Alam. Dari nada percakapannya, jelas dia begitu merendah diri tentang status pekerjaanya. Tapi gerak hati seorang lelaki hebat dan power macam aku ni pasti dapat mengesan sesuatu melalui penerapan elemen-elemen positif dalam merenovasi rumahnya. Maaf, gambar rumah lot tepi ini tidak dapat aku sertakan atas sebab tertentu.


Indah betul hidupnya. Lelaki pertengahan umur dan mempunyai rumah sendiri yang serba sederhana tetapi cantik. Dan pastinya dia mempunyai keluarga sendiri yang baik, walau pun aku ada terlihat seorang tua duduk tersandar pada kerusi malas di anjung rumahnya ketika aku menyerahkan bungkusan goodie bag kepadanya.


Hmm, keluar yang aku maksudkan tadi adalah merujuk kepada aktiviti rutin oleh kumpulan tabligh ke kawasan luar mastautin selama beberapa ketika. Aku tidak pernah ada masalah dengan kumpulan begini, kecuali segelintir orang kita yang sering memandang serong kepada kumpulan ini. Entah kenapa, aku masih lagi gagal mencari sebab yang munasabah dan setepat mungkin.


Satu lagi yang aku suka tentang lelaki ini, dia jelas telah memberikan sumbangan yang besar kepada surau yang letaknya betul-betul di hadapan rumahnya iaitu dengan memberikan idea tentang pembinaan sekolah agama yang baru. Jika tidak lama dahulu, aku mendapati sekolah agama yang asal ditempatkan bersekali dengan bangunan utama surau dan agak tertutup serta tidak sesuai untuk kanak-kanak, kerana masalah pengaliran keluar masuk udara. Tetapi kini masalah itu dapat diselesaikan dengan pengalihan kedudukan sekolah agama ini ke tempat yang baru.

Syabas, tahniah dan terima kasih kepada lelaki ini. Walau pun dia tidak langsung menceritakan tentang sekolah agama ini, tetapi pertanyaan aku kepada seorang lagi old timer di situ jelas membuktikan keindahan dan kecantikan sekolah agama yang baru ini datangnya daripada idea si dia. Terima kasih sekali lagi. Aku sangat sukakan idea open air dan penggunaan bahan recycle terhadap kemasan di sekolah ini, iaitu dapat dilihat kepingan jubin terpakai di concrete top yang menempatkan sinki di salah satu sudutnya.
Itu tentang dia. Tentang aku pulak macamana agaknya. Dengan pengalaman kerja dan kemahiran yang melampaui kuasa sepuluh paket Tongkat Ali Power Root, aku masih lagi tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada rumah Tuhan di dalam kawasan perumahan aku. Jangankan nak cabut rumput sebulan sekali, tolong vakum karpet pun belum pernah aku buat sejak berpindah masuk lebih tiga tahun lalu. Ceh..!!!


Sekian entri penghargaan untuk wira dalam senyap.


-Masa zaman study, pernah join kumpulan tabligh. Seronok jugak makan secara jemaah dan dekatkan diri dengan perkara-perkara sunnah...

7 comments:

Rai Says:
June 6, 2012 at 4:28 PM

selalu jugak surau kat rumah tu dihuni geng geng tabligh..ada sekali seorang lelaki bangsa cina datang mangga surau sebab tak suka ada geng tabligh duk situ..boleh?

kurang ajar gila!!

Aku Says:
June 6, 2012 at 4:34 PM

aku syorkan ko beli mesin potong rumput. nanti banyak bakti ko taburkan, sama di surau atau pun kejiranan...

pengalaman kawan aku, baru-baru ni dia dapat call, malam-malam tu jugak lepas isya' orang suruh potong rumput kawasan surau sebab esoknya ada majlis....

Lady Windsor Says:
June 6, 2012 at 5:40 PM

Mungkin juga ko boleh mulakan dengan datang awal sikit ke surau, bentang sejadah, betulkan langsir atau cek bilik air. Mungkin kau akan berasa sedikit kotor atau jijik untuk bersihkan bilik air, terpulang. Aku rasa ada lagi perkara lain kau boleh lakukan...keluar paling lambat dari surau, pastikan suis ditutup dan semua barangan seperti sejadah, quran atau rihal berada dalam keadaan tersusun dan baik, itupun kalau kau mahu buat, aku menyarankan saja.

Pasal tabligh tu, aku berprasangka baik terhadap mereka kerana yang tak baik tu adalah pendukung atau pengikut yang membuta tuli, keluar rumah tanpa meninggalkan bekalan cukup untuk anak isteri...tu yang ramai orang skeptikal dengan tabligh kan..

Pok Amai-Amai Says:
June 7, 2012 at 8:24 AM

Ko mmg suke bt senyap2.Kagum senyap2. Rebel senyap2. Kutuk senyap2. Maki senyap2. Pantun senyap2. Defensif senyap2 Offensive senyap2. Berblog senyap2.

Hahahahahah!

Wow! Ko pnh join tabligh? Alhamdulillah! Pttlah.....

P/S - Org yg melampau2 syukur tu org yg taknak ade kete, tak nak keje, tak nak tlg bini bt keje umah, besarkan anak and etc...keje die cuma nak beribadat 24 jam tanpa pedulikan tgjwb dlm dunia nie. Mcm...mcm....mmmm...

SM Says:
June 7, 2012 at 12:11 PM

Rai : tu orang gila yang kurang ajar.

Aku : nak beli mesin rumput takde masalah. tapi masa tu yang aku tak boleh beli. takkan nak potong rumput tengah malam buta kot. nak kena hempuk dengan jiran sebelah?

LW : cadangan yang nampak remeh tapi bernas. aku rasa ahli kumpulan ni dah makin bijak sekarang sebab mereka tahu kewujudan mereka di kalangan masyarakat mesti jadi perhatian. jadi kena la jaga persepsi masyarakat supaya sentiasa positif. lagi pun niat mereka kan baik, untuk berdakwah. takkan la nak dilabelkan dengan perkara-perkara negatif.

MF : aku ni diam-diam sudah...

reen afny Says:
June 7, 2012 at 11:03 PM

pernah join tabligh?? huhu hmmmm

SM Says:
June 8, 2012 at 2:44 PM

ra : sebab tu hati aku ni suci.