Babak Terakhir

| Monday, May 07, 2012 | |

"Aku harap ini kali terakhir aku tengok muka kau. Dan kalau kita jumpa lagi, mungkin masa tu kau dah jadi mayat!" Wida mencekak leher Aina sambil menghimpit tubuh bekas sahabatnya itu rapat ke handrail. Matanya menjegil. Wajahnya dihadapkan betul-betul beberapa sentimeter di hadapan wajah Aina. "Kau jangan ingat kau dapat ugut aku. Ingat, siapa yang ajar kau selama ni." Semakin keras suara Wida memberikan amaran.


"Tidak, aku tak nak kau pergi lebih jauh lagi Wida. Hentikan semua ni sebelum keadaan bertambah buruk. Kita masih punya masa untuk memperbetulkan keadaan." Aina cuba mengimbangi dirinya daripada jatuh kebelakang. Kedua-dua tangannya kemas menggenggam besi penghadang yang menjadi pemisah antara dirinya dengan landasan maut di bawah.


Waktu ketika itu menghampiri pukul 10:45 malam. Tren komuter terakhir menuju ke Pelabuhan Klang akan melalui landasan di bawah mereka dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Keadaan sedikit sunyi. Hanya kedengaran bunyi enjin beberapa kenderaan yang melalui jalan berturap beberapa ratus meter ke timur dari jejantas tempat mereka berdiri ketika itu. Cahaya dari lampu jalan di situ hanya memberikan sedikit kecerahan di wajah mereka berdua. Namun tetap mendatangkan emosi tegang antara dua sahabat itu. "Jadi, kau nak aku tunduk pada kemahuan kau? Kau nak aku hentikan semua ni? Hei, jangan jadi bodoh la. Berapa ramai yang buat kerja ni! Dah tak jadi kesalahan lagi!" Wida melonggarkan cengkaman tangannya. Aina terbatuk kecil untuk melegakan sedikit tekanan di kerongkongnya.


Sebaik lehernya dilepaskan, Aina cuba berdiri tegak namun gagal untuk berdiri dengan sempurna. Di hadapannya, Wida masih tetap tidak berganjak dari kedudukannya sejak tadi. "Wida, kau tak nampak apa yang dah berlaku? Kau tak sedar dengan apa yang berlaku kepada Amir? Kau jangan berpura-pura kematiannya tiada kaitan dengan kita. Sudah... Aku nak berhenti. Aku nak berhenti daripada semua ini." Jelas Aina lembut.


"Kau nak lari dari aku? Kau nak jadi pembelot?" Jerit Wida tiba-tiba. Aina terkejut. Matanya dipejamkan rapat. "Aku tak izinkan. Sekali kau melangkah masuk ke dunia ni, tak ada jalan lain lagi untuk berpatah balik. Awal-awal lagi aku dah beri kau amaran. Bodoh!" Tangannya kembali mencengkam kejap leher Aina. Kali ini lebih ketat lagi, dan agak menyakitkan.  Kedua-dua tangan Aina memegang pergelangan tangan Wida untuk menghalang Wida daripada terus mengasari dirinya tapi ternyata gagal kerana malam itu Wida seakan mempunyai kudrat yang lebih kuat daripada biasa. "Kalau itu keputusan kau, lebih baik kau mati!" Jerit Wida sekuat hati.


Dari kejauhan sana, kedengaran sayup-sayup bunyi ngauman perlahan enjin tren terakhir komuter untuk malam itu. Semakin lama, bunyi ngauman itu semakin dekat. Wajah Wida semakin merah menahan marah. Baginya, malam ini adalah malam perhitungan bagi seorang pengkhianat. Kini, kedua-dua tangannya pula yang mencekik kuat leher Aina. Semakin lama semakin kuat. Aina tidak mampu lagi menjerit. Suaranya tersekat di kerongkong. Tangannya terkapai-kapai kehilangan arah dalam mencari sesuatu untuk membantu dirinya. Tanpa sedar, tangan kanannya cuba menyeluk poket jaket denim yang dipakainya untuk mencari sesuatu. Jumpa, keadaan semakin genting. Telinganya sudah dapat menangkap bungi enjin tren komuter yang kian menghampiri. Wida ketika itu seperti sudah kerasukan iblis.


"Malam ni kau mesti mati..." Bisik Wida perlahan di telinga Aina lantas menolek tubuh Aina kebelakang.


Dam...! Buk...!


Keheningan malam itu dipecahkan dengan bunyi peluru yang keluar dari muncung sepucuk revolver dan juga bunyi satu objek jatuh tepat ke atas landasan komuter. Sebaik tren melepasi jejantas konkrit itu, keadaan kembali sunyi. Sunyi untuk sekurang-kurangnya hingga subuh menjelang.


******************************


Tajuk:  -
Genre: Drama
Durasi: 98 minit
Taikh Tayangan: -
Pelakon: Nurul Khamisa Saifuddin (sebagai Aina), Zaidatul Hashimah Mustapha (sebagai Wida), Kamarul Luqman (sebagai Amir) dan Khadijah Salam (sebagai Mak Su)
Pengarah: Mutalib Hamzah
Sinopsis: Mengisahkan dua anggota polis Aina dan Wida yang telah lama bersahabat. Mereka berdua terlibat dalam kegiatan mencuri hasil rampasan untuk kepentingan mereka sendiri. Walau bagaimana pun, Aina akhirnya sedar akan akibat perbuatan mereka apabila seorang tertuduh dalam satu kes bunuh dapat melepaskan diri di mahkamah apabila pihak pendakwa gagal membuktikan jenayah tertuduh itu kerana kehilangan satu barang bukti yang penting. Kemudian Aina cuba memujuk Wida agar meninggalkan kegiatan tersebut, namun gagal sehingga akhirnya hubungan mereka menjadi persengketaan yang menyebabkan kematian seorang lagi sahabat mereka iaitu Amir.

8 comments:

Lady Windsor Says:
May 7, 2012 at 12:26 PM

Beb citer kat astro ke ni? Aku dah lost lah dgn channel ka tv ni...

Lady Windsor Says:
May 7, 2012 at 12:27 PM

2nd!

SM Says:
May 7, 2012 at 12:29 PM

bukan asstro, bukan rtm atau tv3. dan bukan juga untuk tayangan mana-mana pawagam. clue, kau tengok barisan pelakon dan pengarahnya.

Telor Power Says:
May 7, 2012 at 1:12 PM

mcm menarik cerita apa ni? teater ke ?

Lady Windsor Says:
May 7, 2012 at 2:22 PM

Owhh ok nanti aku tengok...ko kah pengarahnya?

SM Says:
May 7, 2012 at 2:30 PM

TP : bukan teater... hahaaa!

LW : (emoticon sengih kambing bandot)

Telor Power Says:
May 7, 2012 at 7:28 PM

cisss....

SM Says:
May 8, 2012 at 7:44 AM

TP : lu terkena, ini rekaan semata-mata...