Teruja

| Sunday, April 22, 2012 | |


Sejak aku mencapai usia akil baligh, aku sendiri dah terlupa telah berapa kali aku melalui pengalaman yang mampu membuatkan aku teruja. Mungkin juga, suatu perkara yang akan aku kenang kerana kemanisan yang teramat sangat. Ada memang ada, tapi terlalu sedikit. Kebanyakannya lebih layak aku tepis jauh-jauh oleh kerana rasanya yang sedikit payau dan ada juga yang terlalu pahit.


Saat-saat ketika menempuh tempoh waktu kanak-kanak adalah zaman yang dipenuhi dengan kegembiraan dan keterujaan, walau pun yang aku lihat itu hanyalah objek besi terbang yang melintasi bumbung rumah aku, sayup jauh di celah-celah awan. Masa itu, sebaik lenturan gegendang telinga kecil aku dapat menangkap asal bunyi yang datang itu adalah dari enjin pesawat komersil yang melintas, aku akan segera berlari keluar rumah dan terus mendongak ke langit tercari-cari objek kecil itu. Dan biasanya dalam tempoh beberapa minit, aku akan terlompat-lompat sambil melambai-lambai tangan ke angkasa sepertinya manusia-manusia yang menumpangi atau mengawal objek itu dapat melihat perlakuan aku di bawah lalu membalasnya.


Tidak cukup dengan ketagihan melihat objek angkasa itu, aku juga sering teruja melihat letusan demi letusan bunga api di udara malam setiap kali tibanya tengah malam Tahun Baru Cina. Disebabkan aku membesar di kawasan perumahan yang penduduknya terdiri daripada tiga kaum utama, aku berpeluang menantikan saat pesta bunga api ini setiap tahun. Sanggup berjaga hingga larut malam walau pun tayangan filem lakonan Jackie Chan telah berlalu. Hampir sejam sebelum tibanya detik 12 tengah malam, aku sudah sedia tertonggok di hadapan rumah bersama teman-teman yang lain. Dan sebaik sahaja letusan bunga api yang pertama kelihatan di atas langit malam dan diikuti bunyi dentuman kuat beberapa saat kemudiannya, kami akan terlompat-lompat dan terjerit-jerit tak ubah seperti kera terpijak paku.


Bagi kami, malam itu perlu kami hayati sepenuhnya. Jangan dipersiakan walau pun hanya sesaat. Seolah tahun depan tiada lagi perayaan yang sama.


Malam semalam, ketika aku menjadi penghuni sementara di sebuah lorong legenda di tengah-tengah ibu kota, ruang udara yang malam yang membaluti Dataran Merdeka disirami dengan pancaran demi pancaran bunga api, untuk meraikan pertabalan Agong yang baru dalam satu majlis yang aku tak berapa nak ambil peduli pun.


Hmm, biasa saja. Tiada langsung jentikan rasa teruja dalam hati aku. Bukan kerana permainan bunga api yang nampak murahan, tapi aku sendiri tak tau kenapa. Kalau pun percikan bunga api itu lebih hebat dan memakan belanja hingga puluhan juta ringgit seperti meraikan sambutan tahun baru atau hari merdeka, perasaan aku tetap sama sahaja.


Tidak teruja langsung. Bukan sahaja dengan bunga api bodoh seperti itu, malah juga dengan banyak lagi perkara lain dalam hidup. Entah kenapa...


Tetapi sebelum bermulanya pesta kecil bunga api bodoh ini, aku sedikit terusik mendengar ucapan `terima kasih' daripada pasangan pelancong Eropah kepada aku. Dan riak teruja aku membuatkan aku hampir terlepas untuk mengucapkan `sama-sama'.


Sekian entri mencari keterujaan dalam hidup.

12 comments:

Lady Windsor Says:
April 23, 2012 at 5:13 AM

Aku dah lama tidak rasa teruja walaupun hidup ini sebenarnya penuh dengan ketidakterujaan...

SM Says:
April 23, 2012 at 10:36 AM

...jiwa kosong?

Pok Amai-Amai Says:
April 23, 2012 at 10:59 AM

Nape mat salleh tu ucap terima kasih kat ko?

Aku Says:
April 23, 2012 at 12:44 PM

.. aku terpaksa menguja-ujakan diri sendiri...agaknya kalau ada perang-perang baru thrill sikit...

SM Says:
April 23, 2012 at 1:40 PM

MF : biasa la. orang berbudi, kita berbahasa. haha!

Aku : pergh. kalau perang olok-olok, aku la orang paling teruja.

Pok Amai-Amai Says:
April 23, 2012 at 3:53 PM

Aku tau. Tp nape die say thank you kat ko? Ko bt ape kat die?

SM Says:
April 23, 2012 at 3:54 PM

aku jual barang kat pasar malam jalan TAR la.

Lady Windsor Says:
April 23, 2012 at 10:31 PM

Bukan jiwa kosong tapi full...tak tahu nak teruja yg mana satu...kerana setiap hari baru yg dilalui adalah mengejutkan..

ஜ miss klanika ஜ Says:
April 24, 2012 at 4:30 PM

aku sentias ateruja dgn hidup nie tak kira sucks cmna skali pon. peace !

SM Says:
April 24, 2012 at 5:02 PM

LW : sekarang, kejutan bagaimana yang aku boleh anggap boleh membawa keterujaan? tiada...

klanika : kau bertuah kerana bijak mencari erti `keterujaan hidup'.

reen afny Says:
April 29, 2012 at 12:05 AM

teruja?? bila aku rasa semangat nak buat sesuatu yang aku suka. hehe

SM Says:
April 29, 2012 at 5:51 PM

ra : ya, teruskan.