Jantung

| Monday, April 23, 2012 | |


Dawson terus mengacukan pena berdakwat hitam milik peguamnya ke leher pengawal itu. Penghujung mata pena itu sedikit menekan ke atas kulit pengawal berbadan sederhana tinggi dan sedikit sasa itu hingga meninggalkan sedikit bekas kemerahan. Walau pun dia memiliki sedikit kelebihan fizikal berbanding Dawson, dia enggan melakukan apa-apa kerana tidak mahu menjadikan keadaan bertambah kecoh. Dia diam membatukan diri dan hanya mengikut sahaja Dawson mengheret dirinya menjauhi muka pintu.


"Jangan buat apa-apa kalau mahu dia selamat!" Jerit Dawson ke arah beberapa pengawal berpakaian seragam yang berada beberapa meter dari pintu. "Jauhi pintu itu, kalian tentu tak mahu melihat dia mati!" Arah Dawson lagi. Pengawal-pengawal itu terpaksa akur dan menapak beberapa langkah ke belakang. Namun begitu, tangan mereka telah tersedia menggenggam erat belantan, sedia untuk menyerang jika keadaan memerlukan.


"Dawson, kau jangan buat begini. Lepaskan dia. Dia tak ada kena-mengena langsung. Tolong fikirkan akibatnya nanti.'" Rayu Mitch dalam nada tegas. Mitch adalah peguam yang mewakili Dawson dalam sebutan mahkamah yang telah masuk hari ketiga ini. Tetapi ini adalah rayuannya yang kedua dalam tempoh setahun. "Lepaskan dia, jangan mengeruhkan lagi keadaan. Fikirkanlah akibatnya." Mitch terus merayu. Sesekali matanya melihat pengawal keselamatan itu mengerutkan dahi menahan rasa pedih yang mula mencengkam lehernya.


"Tidak, kau pun tahu bagaimana kesudahannya. Jangan paksa aku bertindak lebih jauh lagi! Pergi!' jerkah Dawson lagi. Wajahnya semakin membengis. Urat-urat mulai timbul di dahinya.


"Jangan melakukan kesilapan buat kali kedua. Masih ada jalan penyelesaian. Aku pasti, kita masih mampu meyakinkan pihak juri." Pujuk Mitch lagi. Bagi Mitch, seorang peguam muda yang baru menyertai sebuah firma guaman terkenal selama hampir setahun, ini adalah situasi di luar kawalan yang pertama kali baginya. Sebelum ini, kejadian di mana anak guamnya melawan ketika di dalam tahanan adalah perkara biasa, namun tidak sekali pun yang berlarutan hingga ke babak tebusan. Dia mula menggelabah. Titisan peluh halus mulai memercik di dahi. Baju kemeja berlengan panjang buatan Itali yang membaluti tubuhnya tidak mampu menyerap haba yang membahang di bilik pertemuan itu. Fikirannya kacau.


"Aku tak bodoh Mitch. Kau pun tahu bagaimana kesudahan buat aku nanti. Apa pun keputusan juri, aku tetap akan mati. Mati, kau tau?" Cengkaman tangan kasar Dawson semakin kejap melilit leher pengawal itu. Manakala genggaman tangan kirinya terus mencucuk mata pena ke lehar pengawal itu. "Kau sebagai peguam sepatutnya sudah masak dengan undang-undang mereka. Mereka lebih suka mengangkat artikel-artikel ciptaan mereka, dan terus mengetepikan kepentingan nyawa orang lain. Kau sudah lama tahu perkara itu." Mata Dawson menjegil ke aral Mitch yang berdiri bertentangan dengannya di dinding. Meja di antara mereka berdua yang sebentar tadi elok berdiri kini telah terbalik. Kertas-kertas dokumen dan fail-fail milik Mitch jatuh bertaburan di lantai. Bilik kecil berbentuk empat segi tepat seluas 160 kaki persegi di tingkat tiga bangunan mahkamah yang menempatkan mereka sudah seperti baru menerima serangan tentera pemberontak. Segalanya kucar-kacir.


"Dawson, Nicole sendiri sudah bersetuju menerima jantung kau sebagai penyambung hayatnya nanti setelah kau menjalani hukuman mati kelak. Tapi bukan begini caranya. Dia sangat perlukan kau. Jangan sia-siakan kepercayaannya terhadap kau selama ini. Fikirkanlah." Mitch terus-terusan memujuk Dawson agar bertenang dan melepaskan tebusannya. Kemejanya sudah mulai lencun. Peluh di wajahnya kini bagaikan simbahan air hujan, menuruni hingga ke dagu runcingnya dan leher.


"Aku bukan pekak Mitch. Aku faham apa yang hakim Robson nyatakan tadi. Undang-undang negeri ini tetap tidak akan mengubah jenis hukuman yang bakal menamatkan riwayat aku. Sama ada menerima suntikan maut atau pun aku bakal kaku di atas kerusi elektrik. Dan lagi kita semua bukan bodoh, semua hukuman itu bakal merosakkan jantung aku. Tak mungkin, tak mungkin. Aku takkan biar itu berlaku." Dawson menjelaskan duduk perkara yang juga diketahui Mitch.


"Mitch, aku sudah tiada pilihan lain lagi. Tapi aku tetap akan mati. Cuma aku sahaja yang berhak menentukan bagaimana caranya aku akan mati. Bukan mereka, bukan kau, dan bukan juga undang-undang negeri mana pun." Ucap Dawson. Dia mula bergerak ke arah muka pintu sambil menghampiri tubuh Mitch yang masih terpegun di dinding. Melihatkan reaksi Dawson yang mula mengendurkan amarahnya, Mitch melepaskan dirinya dari bersandar di dinding dan berdiri tegak mengadap Mitch. Namun matanya terus memerhatikan lengan Dawson yang mencengkam leher tebusannya. "Jadi, apa tindakan kau selepas ini? Dawson, kau patut menyerah saja." Mitch masih lagi memujuk.


"Mitch, kau faham maksud aku kan. Aku mahu menentukan bagaimana cara aku mati." Tegas Dawson sekali lagi.


Mitch mengerutkan dahinya cuba memahami maksud kata-kata anak guamnya. Beberapa saat kemudiannya, dia menunjukkan riak wajah sayu. Seakannya dia enggan menerima keputusan Dawson petang itu. Baginya, masih terdapat banyak lagi jalan untuk melepaskan diri dari masalah ini. Tapi yang pasti, dia mahu lakukannya mengikut prosedur undang-undang yang sah. Sebagai peguam, dia sepatutnya memelihara ketulusan undang-undang ciptaan manusia biarpun keputusan undang-undang itu tidak memihak kepada mereka yang tertindas. Dalam kes ini Nicole, seorang penerima organ sah yang bakal mewarisi jantung Dawson apabila banduan itu dihukum mati atas kesalahan rompakan bersenjata dan membunuh tanpa niat beberapa tahun lalu.


Keadaan senyap, berterusan hingga beberapa minit lamanya. Ketiga-tiga lelaki yang berada di bilik itu kaku seperti dibekukan masa. "Tidak Dawson, aku tak setuju. Pasukan SWAT telah dipanggil, dan mereka sedia menembak kau sebaik saja kau melangkah keluar dari bilik ini. Aku bimbang kejadian yang lebih buruk akan berlaku." Tegas Mitch lagi, tapi kini dalam nada yang seakan memujuk.


"SWAT? Bagus, mereka pasti dapat menjalankan tugas mereka dengan baik dan menamatkan riwayat aku dengan cara yang sepatutnya. Moga tembakan mereka tak tersasar dari kepala aku. Mitch, ini adalah keputusan aku. Kematian bagi aku adalah suatu yang amat pasti. Kalau bukan hari ini, mungkin lusa atau hari seterusnya. Kau dan aku harus terima ini sebagai hukuman penamat atas kesalahan yang telah aku lakukan sebelum ini. Tetapi, kita juga mesti berikan Nicole peluang untuk meneruskan hidup. Dia masih muda, perjalanan hidupnya masih panjang. Dia juga mesti menikmati hidupnya dengan sebaik mungkin. Jadi, telah menjadi tugas kau dan aku untuk membantunya." Begitu lancar dan lembut kata-kata yang luruh dari mulut Dawson. "Aku sudah sedia, Mitch..."


Serentak dengan itu, Dawson menendang pengawal itu keluar dari bilik hingga lelaki itu jatuh tertiarap. Dan dengan langkah yang pantas dan menderap, Dawson melintasi tubuh pengawal itu yang masih terpinga-pinga di lantai, cuba menerkam para pengawal keselamatan yang sudah sedia mununggu di hujung lorong itu. Suaranya keras menjerkah ke arah mereka sambil tangannya terawang-awang di udara dan mengacukan pena bermata tajam bagaikan seorang pahlawan shogun yang sedang dirasuk amarah.


Tiba-tiba, dam...! Satu das tembakan dilepaskan entah dari mana. Tubuh Dawson jatuh terjelepuk ke lantai. Terus kaku tidak bergerak. Darah merah mulai merebak di sekitar tubuh kaku itu. Mengalir hangat dari liang tembakan di tubuh Dawson. Beberapa tompokan kecil dan percikan darah Dawson kelihatan melekat di dinding.


Mitch yang dari tadi hanya mampu terpegun memerhatikan tindakan pantas Dawson segera berlari mendapatkan jasad anak guamnya. Ditatangnya jasad Dawson yang kini tidak bergerak langssung. Sebaik dia membalikkan jasad itu dan dipangku di atas riba, darah semakin membuak-buak keluar dari dada Dawson. Dawson kini tidak lagi bernyawa.


Tangan kanan Mitch menekan dada kiri Dawson yang berliang sebesar ibu jari sambil menundukkan wajahnya mendekati wajah Dawson dan menitiskan air mata. "Dawson, kau sudah silap percaturan.. Kini jantung kau mungkin tidak berguna lagi." Rintih Mitch perlahan...




-olahan berdasarkan babak akhir dalam salah satu siri The Firm, AXN.

10 comments:

NenetPenne (NP) Says:
April 23, 2012 at 4:34 PM

kau dah jadi pengulas citer ke sekarang ni?

SM Says:
April 23, 2012 at 4:36 PM

aku ulas semua perkara. you have to look deeper. cewah!

Lady Windsor Says:
April 23, 2012 at 10:30 PM

Aku nak baca sinopsis la weii..sinopsis...

Aku Says:
April 23, 2012 at 10:56 PM

aku macam tengok wayang tanpa gambar...

NenetPenne (NP) Says:
April 24, 2012 at 2:56 PM

bagi sinopsis atau abstract atau conclusion jelah.. senang..

look deeper or look down under..bhahaaha.....

jadi citer ni, isu nya apa?

SM Says:
April 24, 2012 at 5:00 PM

LW & NP : sila tonton siri The Firm... hahahaa!

Aku : aarrgghh...! gua tension sama dunia! ...and fucked!

Lady Windsor Says:
April 24, 2012 at 6:28 PM

arghh nak menonton tu yg aku lemah tu...aku allergic dengan tv skang ni..tv pun lagi allergic tengok aku..

NenetPenne (NP) Says:
April 26, 2012 at 4:23 PM

@SM
aku malas nak tengok tv
sebab aku dah jadi mcm LW, balik rumah terus masuk bilik, on radio pastu zzzzzzzzzzzzzzzz....

no more tido depan tv like i used to do sebab nak selak langsir takut, takut ada cicak belakang langsir...

NenetPenne (NP) Says:
April 26, 2012 at 4:24 PM

kau ni kenapa SM? meroyan eh?

SM Says:
April 27, 2012 at 4:20 PM

LW : allergic aku tengok kau ni la! haha!

NP : la, takut cicak rupanya.

NP : komen anda telah dijawab di entri yang lain. hahaahaaa!