Gocoh

| Friday, April 27, 2012 | |

Kisah Pertama...


Tingkatan tiga, selepas habis sesi persekolahan. Hanya kami bertiga iaitu aku, Pedi (nama sebenar) dan Sani (nama sebenar) yang melalui short cut untuk ke bus stand untuk mengambil bas masing-masing. Ini adalah laluan kegemaran kami dan juga beberapa kumpulan yang lain kerana lebih dekat dan tidak terdedah dengan panas terik matahari. Sepanjang perjalanan bermula dari celahan lubang pagar di sisi kanan kawasan sekolah hingga ke bus stand, kami akan melalui ladang kelapa sawit (kini telah tiada kerana sudah didirikan pasaraya Giant) dan sebuah tokong cina selain melayan salakan anjing-anjing belaan di tokong itu. Beberapa minit kami berjalan, di sudut selekoh jalan tanah merah sana kelihatan beberapa pelajar ( seingat aku ada empat orang) dari sekolah yang sama dengan kami sedang duduk-duduk di atas pelepah kelapa sawit dan ada antara mereka yang mencangkung sambil asap berkepul-kepul keluar dari rongga hidung. Kami bertiga meneruskan perjalanan. Sebatang rokok yang aku pau dari Apis (nama sebenar) ketika di sekolah tadi sudah tinggal separuh aku hadam. Dari jauh, aku sudah dapat mengagak akan perkara yang bakal berlaku. Sani kelihatan tenang seolah mempunyai kuasa ajaib untuk mengetahui kejadian pada masa hadapan. Di tangannya juga terselit rokok, juga tinggal separuh. Antara kami bertiga, Sani adalah perokok tegar, manakala aku hanya `perokok tumpang' dan cuma Pedi seorang sahaja yang tidak merokok. Aku kira sehingga sekarang dia masih lagi bebas dari tabiat itu.


Beberapa depa sebelum kami bertiga mendekati tempat mereka berkumpul, semua bereka bingkas bangun dan masing-masing mula bergerak ke arah kami. Pedi dan Sani memperlahankan langkah. Bagitu juga aku yang berjalan di belakang sekali. Kemudian, kami bertiga berhenti...


Sani memandang kepada salah seorang pelajar tebabit, lantas diam. Masing-masing diam. Laluan bertanah merah itu sudah dihalang oleh kumpulan tersebut. Sani selaku pendahulu bergerak merapati mereka seperti mengelak badan mereka yang menghalang. Tapi aku tau, dia bukan berniat untuk melepasi mereka semua. Itu cuma sebagai langkah untuk memulakan `salam perkenalan'. Belum pun bahu Sani dan salah seorang mereka bersentuh, tubuh Sani telah ditolak kebelakang. Langkah Sani terhenti dan badannya sedikit terdorong ke belakang. Pedi yang mengekori di belakang berganjak sedikit untuk mengelak daripada dilanggar.


Pertengkaran kecil berlaku. Aku tak faham duduk perkara sebenar yang menjdai punca pertengkaran antara Sani dan salah seorang mereka. Pedi yang badannya besar sedikit daripada aku mencekak pinggang di sebelah aku. Dan aku kini sedang bersedia menghadapi kemungkinan. Tolakan pelajar itu dibalas juga dengan tolakan oleh Sani. Masing-masing saling bertolak-tolakan. Pedi sudah bergerak ke hadapan. Aku sudah bersedia.


Tiba-tiba satu tumbukan melayang ke arah muka Sani, tetapi mujur dia sempat mengelak. Pergelutan pun tercetus. Masing-masing berbalas beberapa serangan tetapi semua tersasar. Pedi menanggalkan beg lalu meletakkannya ke tanah dan meluru ke arah Sani untuk membantu. Namun, belum sempat dia melakukan apa-apa, mukanya telah ditolak oleh seorang lagi pelajar. "Kau jangan campur!" Pelajar itu memberi amaran sambil cuba menyerang Pedi pula.


Serangan itu dibalas dengan satu pukulan yang terkena sedikit di lengan. Selepas itu, kedua-dua mereka iaitu Pedi dan seorang lagi pelajar itu hanya tercegat. Hanya memandang antara satu sama lain. Kini tinggal aku sendiri yang masih belum bertindak. Bergelutan antara Sani dengan lawannya semakin rancak hingga ke adegan menarik baju. Aku lihat, butang uniforn baju Sani sudah tercabut. Bajunya menggelebeh. Mukanya sudah merah, begitu juga dengan lawannya.


Zapp...! Sani melepaskan satu-satunya tendangan ala taekwando yang belum pernah dilepaskan sejak pergaduhan pada petang itu tercetus. Begitu hampir mengenai muka lawannya, mujur dia sempat mengelak. Jika tidak, aku pasti mulutnya akan berdarah. Pergelutan antara Pedi dengan lawannya telah tamat. Aku masih lagi memerhatikan pergaduhan itu. Dan tetap bersedia jika keadaan memerlukan...




Kisah Kedua...


Ketika lampu dorm dimatikan, aku melihat jarum pendek jam kecil yang aku sangkut di jeriji tingkap telah melepasi angka dua belas. Aku yang sedang mendengar walkman di tingkat bawah katil double decker sambil terbaring dari tadi hanya terkebil-kebil memandang suluhan cahaya dari tapak pembinaan sebuah pusat membeli-belah di permukaan papan yang mengalas tilam tempat Mail (nama sebenar) tidur di tingkat atas. Sempat menghabiskan dua buah lagu dari kaset kumpulan XPDC di walkman berjenama Sony, aku nampak kelibat tubuh kecil Bagong (nama selaran di asrama) iaitu ahli dorm kami memasuki dorm yang dihuni dua belas orang dalam kesamaran malam. Bersama-samanya, ada satu lagi lembaga mengikuti di belakang. Aku tak pasti siapa pemilik tubuh itu.


Sebaik pintu ditutup rapat, cahaya makin suram. Fikri (nama sebenar) yang pada mulanya berbaring di katil sebelah aku bingkas bangun dan berjalan dengan hanya berseluar pendek menuju ke ruang tengah dorm. Terdapat juga pergerakan-pergerakan baru dari ahli-ahli dorm yang lain iaitu Herman (nama sebenar) yang turun dari katil tingkat atas selang satu katil dari katil aku. Begitu juga dengan Pitun (nama gelaran di asrama).


Kini mereka semua telah berkumpul di ruang tengah dorm dengan ahli luar yang tak dapat aku amati siapa itu berada di tengah-tengah. Dalam hati aku berkata, mungkin sebentar lagi peperangan akan meletus. Peperangan yang aku maksudkan adalah ritual menghisap `dapur' yang sudah biasa dijalankan di dalam dorm aku sebagai lokasi pemujaan rasmi. Dalam keheningan dan kesuraman malam dan hanya dipecahkan dengan bunyi jentera dari tapak pembinaan berhampiran, aku dapat mendengar Bagong, Fikri, Herman dan Pitun bercakap sesama sendiri. Tapi aku tidak begitu mengambil peduli kerana suara Mael XPDC dari corong earphone aku lebih menarik lagi.


Tiba-tiba, aku melihat Herman memanjat tingkat atas katil dan melompat ke bawah. Apa yang sedikit mengejutkan aku, sasarannya adalah individu luar tersebut! Bedebuk! Dengan lubang telinga yang disumbat earphone, aku masih dapat mendengar lengan (atau mungkin sikunya) menghentak belakang badan penghuni dari dorm luar itu. Dia jatuh tersungkur ke lantai. Hentakan keras Herman itu diikuti pula dengan tindakan Bagong merebahkan badannya menindih penghuni luar itu. Selepas serangan kali kedua itu, kesemua mereka membiarkan penghuni luar itu bangun perlahan-lahan. Dia cuba berdiri tegak. Namun belum sempat membetulkan posisi berdirinya, punggungnya telah ditendang dari belakang oleh Pitun lalu membuatkan tubuhnya terdorong ke hadapan. Hampir-hampir kepalanya terhantuk pada tiang katil.


Seperti melepaskan perasaan tidak puas hati, Fikri menarik tangan penghuni itu kembali ke tengah buat santapan beramai-ramai. Dan bermulalah serangan-serangan yang lebih agresif. Aku hanya memerhatikan dari atas katil sambil mengalas kepala dengan lengan. Pada ketika itu, aku tidak rasa aku perlu melakukan apa-apa seperti membantu salah satu pihak kerana itu bukanlah masalah buat aku. Lagi pun aku tidak dijemput menyertai adegan pergaduhan itu.


Tap! Tiba-tiba lampu bilik dinyalakan. Cikgu (aku lupa nama cikgu baru bertubuh kecil ni) yang tingal di tingkat bawah sudah sedia tercegat di penjuru bilik bersebelahan dengan suis lampu. Aku langsung tidak sedar pada waktu bila cikgu memasuki dorm kami. Semua penghuni yang ada di ruang tengah dorm kaku dan membatukan diri. "Keluar semua!" Dia memberikan arahan dengan suara yang kuat. Langsung tak padan dengan tubuh comelnya.


Celaka, wayang dah habis. Tak dapat tengok siapa menang. Aku menyumpah dalam hati. Dalam perkiraan aku, tak lama lagi pasti dorm aku akan kekurangan ahli untuk beberapa minggu akibat hukuman penggantungan sementara di sekolah teknik ini. Dan lagi,  pada pagi nanti pasti Amir (penghuni luar tersebut) akan dihantar ke klinik atau lebih malang lagi ke wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah...




Kisah Ketiga...


Kejadiannya berlaku tengahari tadi, lebih kurang sejam sebelum waktu keluar untuk solat Jumaat. Aku harap pinggang kau yang terhentak pada bucu mesin fotostat akan menyebabkan kau bersara awal sebab aku pasti tolakan aku pada bahu kau mempunyai momentum yang mampu menumbangkan seekor lembu baka New Zealand. Dan lagi, tadi kau pasti tidak akan cuba membangkitkan kemarahan aku kalau la kau tahu sekarang aku sedang menyimpan amarah yang selama ini terbendung dengan kemas di dada. Apa pun yang aku lakukan, aku katakan semuanya aku keluarkan dalam cara yang terbaik. Seboleh-bolehnya aku cuba untuk tidak menyinggung mana-mana pihak, semuanya sekadar pendapat dan pandangan yang disuarakan dalam nada yang seneutral mungkin.


Aku tahu kedudukan kau sebagai seorang yang berjawatan kanan dan antara yang paling senior. Tambahan pula kau mempunyai ramai kenalan hingga mencecah ratusan orang hanya dalam satu bangunan ini sahaja, apa sahaja yang kau katakan pasti ramai yang akan mengiyakan tak kira dalam isu apa pun. Tapi...


Tapi tolong hormati aku sekurang-kurangnya sebagai seorang manusia, bukan sebagai anjing kurap jalanan yang tempang kakinya. Di sini, sekali lagi aku ingin tegaskan seperti apa yang aku tengkingkan tadi bahawa; jangan sesekali kau mempersendakan atau merendah-rendahkan maruah aku. Tolong hormati aku. Menghina aku secara peribadi sekarang tak ubah seperti percikan api di atas limpahan petrol, pasti akan mencetuskan letupan amarah. Kolar baju kau yang aku cengkam tadi hanya sebagai amaran supaya kau akan ingat hari di mana ada seorang berani bersuara menentang kau dengan menggunakan tangan!


Tolong, tolong jangan lakukan penghinaan pada aku. Aku tak kisah kalau kau langsung tak setuju dengan sebahagian besar atau semua pendapat aku. Silakan tegur dengan cara yang baik dan bangkang dengan bijaksana. Tetapi sekarang, aku tak dapat terima kalau kau mempertikaikan pendapat aku dan dalam masa yang sama cuba mengaitkan peribadi aku. Tolong, tolong la hanya pertikaikan pendapat aku. Bukan aku!


Fuck you! Mujur, amarah aku masih lagi dapat dikawal. Cuma kolar baju kau yang menjadi sasaran!


SEKIAN!




-Entri ini ditaip ketika aku sudah berambus dari ofis. Dan minggu hadapan aku akan manunggu surat tunjuk sebab. Fuck, all of you!

8 comments:

reen afny Says:
April 28, 2012 at 11:48 PM

PERTAMA ;)

reen afny Says:
April 28, 2012 at 11:52 PM

laaa asal sume kisah pasal gaduh ni? tengah panas hati ek... huhu sabar bro. huu

Aku Says:
April 29, 2012 at 9:19 AM

yeah!
aku sokong je.
aku tak pandai gocoh.

SM Says:
April 29, 2012 at 5:49 PM

ra : tengah panas, nyaris tak kena tumbuk.

Aku : gua pun tak pandai bergocoh. tapi air tenang jangan sangka takde buaya.

reen afny Says:
May 2, 2012 at 12:41 AM

huhu yeke.. tula, kemarahan kadang2 boleh buat kita hilang waras sikit. kena jaga2. (tuju kat diri sendiri k)

SM Says:
May 2, 2012 at 10:19 PM

ra : sesekali, nyesal pulak tak tumbuk je muka dia.

::Mastura Zakaria:: Says:
May 3, 2012 at 11:01 AM

hahahhaa...jrg tangok tv3,rtm..minda tak berkembang...hahaha

SM Says:
May 3, 2012 at 11:04 AM

Mastura: haa? (ikon garu kepala)