Cinta Buta dan Cinta Tuli (1)

| Sunday, April 15, 2012 | |
Waktunya, petang. Harinya, Sabtu kedua dalam suatu bulan di awal tahun. Tujuannya, tiada tujuan yang pasti kerana mereka baru selesai menghabiskan hari petang menelusuri gerai-gerai pasar malam di celahan bangunan lama itu. Suasananya tidak begitu pikuk seperti minggu-minggu sebelumnya. Hanya tenang. Setenang yang semua kita idamkan.


Namun begitu, cuacanya tidak begitu memberikan mereka ruang untuk lebih menikmati simbahan cahaya mentari petang. Rintik-rintik hujan halus melatari tubuh mereka berdua sejak mereka berdua ketemu di pondok bas, seperti yang dijanjikan. Dan sepanjang masa itu, berjalanlah mereka berdua. Beriringan, sebelah-menyebelah. Menyelinap di antara susuk tubuh manusia dan jasad-jasad pegun yang lain mencari perlindungan.


Sebaik melintasi seorang pemuzik jalanan yang leka menyedut teh ais hingga lekukan di pipinya jelas ketara, si lelaki menoleh kepada si perempuan yang berjalan beberapa inci di sebelah kanannya. Pandangan mata butanya yang sesaat itu bagaikan meluncurkan satu soalan. Soalan yang langsung tidak dilisankan, namun dapat dibaca oleh si perempuan yang hanya pekak, namun dapat melihat dan tidak bisu.


Berkatalah si perempuan manis dan berbaju kurung cotton itu, "Terima kasih, kerana engkau tidak pernah memimpin tanganku walau pun kita berdua  berada di tempat yang tidak kita ketahui."


"Sama-sama, dan kau juga tahu kenapa aku tidak pernah menyentuh tanganmu itu untuk dipimpin atau memimpin. Sedangkan Tuhan tidak lagi memberikan aku nikmat pandangan mata seperti dahulu." Balas si lelaki sambil menoleh ke sisi supaya si perempuan dapat membaca gerak bibirnya.


"Ya, aku tahu. Dan kau juga tahu. Begitu juga dengan Tuhan. Kita tidak perlu berpegangan tangan tatkala berjalan seperti pasangan yang lain kerana aku yakin, selagi aku dapat melihat kau dan kau dapat mendengar aku, bermakna kita masih lagi bersama." Jawapan itu diucapkan bersama-sama dengan senyuman oleh si perempuan. Senyuman yang sentiasa dihadiahkan untuk insan yang tidak bisa melihat dengan mata.


Dan senyuman itu berbalas juga dengan senyuman si lelaki, kerana dia tahu selagi mereka berada dekat, dia perlu tersenyum untuk si perempuan...


Kemudian, mereka meneruskan perjalanan ke arah yang Tuhan telah tahu terlebih dahulu...

13 comments:

Aku Says:
April 15, 2012 at 12:18 AM

... aku tengah fikir tentang pemuzik jalanan yang menghirup teh ais... he must be somebody.. hmmm..

Telor Power Says:
April 15, 2012 at 2:01 AM

aku suka cara godaan awek begini. nampak sempoi tapi penuh keimanan

Lady Windsor Says:
April 15, 2012 at 5:32 AM

hmm...betapa tulus dan warasnya perasaan mereka. teringat pulak aku kerap lihat insan2 yg sempurna, lelaki dan perempuan kalau bercinta jalan berpimpin-pimpin ketat erat pegangannya kalah manusia buta, yang si lelaki siap tolong pegang handbag wanita macam si wanitanya tiada bahu untuk disandang beg sendiri...pelik!

SM Says:
April 16, 2012 at 7:42 AM

aku : everyone is somebody. haha! dan teh ais bungkus amat sesuai disedut di kaki lima kedai. manyak syok...!

TP : ya, kaedah yang amat tersendiri romantiknya.

LW : yang pegang tangan bagai nak rak macam takut awek hilang tu cuma HIPOKRIT je! what the fuck, kau nak menunjuk itu semua...? kau bangga ada awek lawa? kau bangga ada balak hensem? sumpah, korang memang kelihatan sangat tak sempurna.

eh, kita sering nampak pasangan yang sama jenis `kelebihan fizikal' macam buta sama buta, bisu sama bisu kan? tapi jarang nampak bisu sama buta.

hehehee... sangat manis.

Lady Windsor Says:
April 16, 2012 at 7:54 AM

Ya, jarang nampak bisu sama buta. Kalau ada pun tak pasti sebab yg bisu tu jalan macam biasa dan tak tahu macam mana kaedah mereka berkomunikasi sbb kalau bisu dia mesti guna bahasa isyarat manakala pasangannya yg buta itu tak boleh melihat...Haaaaa kan?

SM Says:
April 16, 2012 at 7:58 AM

yang pasti cinta itu unik dan sangat indah. terutama sekali kalau kita dapat lihat pasangan yang macam ni. (ikon hati tu macamana nak buat ek?)

Pok Amai-Amai Says:
April 16, 2012 at 11:05 AM

Ko reka sendiri ke cite nie?

SM Says:
April 16, 2012 at 11:09 AM

MF : rekaan semata-mata... jadi jangan percaya. hahahaa!!!

Lady Windsor Says:
April 16, 2012 at 1:45 PM

ntah aku tak reti nak buat ikon tu

Pok Amai-Amai Says:
April 16, 2012 at 3:43 PM

Ok gak ko bt cite nie...aku suke...mcm ala2 lagu Dari Kekasih untuk Kekasih. Aku selalu kaitkan lagu tu dgn cite sorang pelukis potret kudung kaki yg jth cinta dgn anak org kaya.

Err...

SM Says:
April 16, 2012 at 3:57 PM

MF : apa kata kau bikin kisah tragis tanpa memaksa orang menangis. biar tertahan, biar bergenang. tapi jangan serupa hindustan. haaaa....

Lady Windsor Says:
April 16, 2012 at 7:04 PM

macam mana tu biar tertahan, biar bergenang..cer explain sikit ke aku...

SM Says:
April 16, 2012 at 9:45 PM

LW : susah nak bagi deskripsi secara tulisan atau lisan, tapi kalau siapa-siapa yang ada pengalaman, baru faham...