Memori Cinta 1 : Transit Link JB

| Friday, March 02, 2012 | |




Hari Sabtu, matahari betul-betul tegak di atas kepala. Jam tangan pemberian Cik Sam yang terlilit di pergelangan tangan kiri aku, terasa sedikit melekit dengan rintik-rintik peluh yang mulai merembes keluar dari liang roma aku. Aku angkat tangan kiri aku setinggi pusat, kelihatan jarum pendek sedikit melepasi angka dua belas manakala jarum panjang menghampiri angka dua. Masih awal mengikut perkiraan aku. Kerana kalau hari sebelumnya, mungkin aku masih terbaring di depan tv atau sedang menyumbatkan telinga dengan putik earphone mendengar suara nyanyian Shawn Colvin dari walkman aku. Rutin biasa bagi pekebun anggur yang baru berhenti kerja dari kilang mozek.

Beberapa minit sebelumnya, tubuh kurus tinggi aku ini dibaluti dengan udara sejuk yang terhasil dari putaran kipas siling, manakala kini aku berdiri tercegat betul-betul memijak kerb jalan hitam putih menunggu kenderaan besar berwarna merah putih. Aku sengaja tidak meletakkan diri aku di bawah teduhan bumbung pondok menunggu bas kerana, aku lebih suka menunggu dalam keadaan berdiri. Sejak sekolah menengah lagi. Keseorangan, tiada siapa yang menemani aku tengahari itu. Mungkin ramai lagi calon-calon yang lain masih lagi belum menyudahkan kertas soalan mereka. Atau pun mereka sedang sibuk berbincang sesama sendiri tentang jawapan ujian bertulis tadi.

Ah, pergi mati la. Memang perangai aku takkan bincang jawapan yang aku dah tenyeh pada kertas jawapan sejak dulu lagi. Lagi pun, apa je yang aku nak bincangkan. Lebih tepat lagi, aku nak bincang atau sembang dengan siapa? Bukan aku kenal pun semua calon-calon ujian ni. Entah siapa, dari ceruk mana datangnya, aku tak kenal. Dan takde pasal aku nak mencari kawan kat bangunan sekolah tinggalan penjajah British ni. Bangunan kolonial yang menempatkan sebuah sekolah elit bernama Maktab Sultan Abu Bakar, atau dalam nama glamournya English College, EC.


Tujuan aku datang naik bas buang duit hampir RM5 sehala ke sini semata-mata nak ambil ujian bertulis untuk syarat kemasukan ke maktab perguruan je, bukan nak cari anduh. Jadi, persetankan dengan remaja-remaja yang kemaruk nak jadi cikgu lepasan diploma tu. Macam la aku tak tau, ramai daripada mereka tu yang kena paksa dengan mak bapak isi borang maktab, macam aku...

Hampir sepuluh minit berlalu, manusia sabar seperti aku sudah bertambah. Aku tak tau berapa. Tapi aku pasti terdapat lebih daripada satu jasad bernyawa yang duduk di belakang aku. Aku pasti, berdasarkan bunyi desiran kaki mereka menyapu lantai pondok bas dan suara-suara perbualan antara mereka.

Melewati minit yang ke tiga belas, kelihatan satu objek berbentuk kotak setinggi hampir tiga meter sedang terhegeh-hegeh menghampiri kami. Aku cam sangat-sangat objek apa yang sedang mendekati. Itu adalah objek yang aku tunggu sejak dari tadi. Untuk itu, sebaik sahaja objek lembab itu menghampiri, aku segera mengangkat tangan kiri separas baru dengan gaya seorang pemalas.

Menjadi orang yang menahan objek lembab di hadapan itu dari kalangan penunggu di situ bukan lah sesuatu yang aku gemari, kerana aku pasti akan menjadi perhatian mereka dalam beberapa saat. Aku tak suka jadi perhatian walau pun cuma seorang.

Celaka, bila benda ni berhenti baru la aku perasan benda gedabak ni tak menuju ke tempat yang aku nak pergi. Niat aku, aku nak pergi ke Terminal Bas Larkin supaya aku dapat mengambil kenderaan lain untuk pulang ke rumah. Cinabeng, patutnya nak pergi Larkin la yang paling senang. Jadi, untuk menutup keaiban akibat perbuatan sendiri, aku panjat juga tangga memasuki perut objek besar ni. Aku terpaksa tukar rancangan, lencongan akan dilakukan sedikit.

Setelah memasukkan duit syiling ke dalam tabung kutipan di sebelah kiri pemandu, aku terus menuju ke arah bangku yang masih kosong di sisi sebaris dengan pemandu. Sebaik bontot aku melekap pada muka bangku, pandangan aku terus dihalakan ke luar. Meninjau pemandangan Dataran Bandaraya dan bangunan jam besar dari belakang yang berlatarbelakang Pantai Lido. Sayup-sayup, mata aku dapat mengesan susunan kecil bangunan dari negara jiran. Tak ubah seperti susunan blok miniatur dalam Sim City yang baru mula berkembang.


"Eh kau, buat apa kat sini? Ambik exam jugak ke?" Lamunan aku terhapus sama sekali. Imej potongan buah tembikai susu dalam plastik di Terminal Bas Larkin meletup keluar dari kotak imaginasi aku gara-gara ditegur oleh satu suara lembut. Kalau tak silap, aku macam biasa dengar suara itu. Pemiliknya pasti seorang perempuan.

"Eh, woi! Kau? Apasal aku tak perasan kau naik bas ni?" Aku terkejut. Namun suara aku dapat dikawal kerana pada aku suara adalah aurat yang perlu dijaga rapai, sama juga rapi seperti seorang perempuan yang menutup celah buah dadanya.

Bertudung biru muda dengan sulaman manik-manik halus di tepi dan bucunya disilangkan kemas ke belakang, dia yang betul-betul duduk di depan aku menoleh ke arah aku. Masih tidak berubah sejak kali terakhir aku melihat dia beberapa bulan dulu. Keseluruhan bentuk wajahnya sedikit bulat dengan pipi sedikit menonjol seperti anak kecil yang selalu dicubit. Dihiasi dengn dua ulas bibir halus atas bawah menambahkan lagi manis pada diri seorang perempuan. Sejenak bibir itu tersenyum, terus menghasilkan rimbunan aura-aura sejuk ke dalam segenap isi perut ruang yang menempatkan kami ketika itu. Langsung tidak dapat ditandingi oleh lubang pendingin hawa di atas kepala kami. Tidak terlalu sejuk hingga mengecutkan telur, atau tidak terlalu panas hingga mencairkan kemasan getah pada bingkai tingkap di sebelah kanan aku. Aku suka.

Dia tersenyum mendengarkan soalan aku. Dan aku juga turut mengukir sengihan busuk.

"Yela, tadi aku nampak kau naik bas. Aku kat belakang, kau buat selamba je. Sombong." Dia cuba melatari bibirnya yang nipis itu dengan cebikan manja. Tapi tidak begitu menjadi. Pada aku, dia memang tidak pandai menunjukkan reaksi nakal sebegitu lantaran susuk tubuhnya yang kecil dan comel. Hahahaa...!

"Dah tu, kenapa tak panggil? Aku biasa la, hari ni aku lupa pasang mata extra kat belakang kepala. Tu yang tak perasan. Sorry." kata aku.

"Banyak la kau. Mengada eh! Nak pasang mata pulak." Dumm...! Aku suka dan tersangat suka tatkala dia menyebut perkataan mengada. Sekali lagi, aku memuji personaliti dia yang rupa-rupanya ada unsur-unsur manja tersembunyi. Aku tak tau selama ni. Sepanjang tempoh dua tahun menduduki kelas Kejuruteraan Awam di sebuah sekolah teknik di bandaraya selatan tanah air, aku jarang bercakap dengan dia. Memandangkan meja kami yang agak jauh iaitu berselang dua baris, kami hanya bercakap apabila perlu. Lain-lain hal, aku tak berapa ambil port dengan apa yan berlaku di dalam kelas.

Pernah sekali dia ingin meminjam lukisan yang telah aku siapkan awal untuk ditiru. Tetapi, lukisan yang aku rasakan tidak berapa cantik itu aku berikan sahaja kepada dia supaya aku dapat membuat yang lebih baik sekembalinya di asrama. Di dalam subjek lukisan kejurueraan, aku adalah antara pelajar favourite walau pun nama aku jarang dipanggil ke depan untuk menjawab soalan di papan hitam. Namun begitu, aku mampu menjadi pelajar pertama menyiapkan jawapan pada kertas lukisan walau pun cikgu masih belum habis melakar soalan.

"Kau balik mana, Air Tawar ke? Jauh jugak tu." Aku cuba meramahkan mulut.

"Tak, balik Masai. Rumah akak aku. Aku stay situ." Dia menjawab, masih lagi tersusun dengan senyuman manis. Walau pun pada aku dia bukanlah tergolong dari kalangan yang mampu buat orang menoleh untuk kali kedua, tapi aku suka melihat wajah dia. Bukan, bukan sejak sekolah. Tapi pada ketika itu. Aku suka melihat wajah dia pada ketika itu. Entah kenapa, mungkin kerana aku rindu dengan kawan-kawan sekolah atau pun muka dia mengingatkan aku pada zaman persekolahan. Zaman yang aku tak berapa nak suka kecuali kelas Lukisan Kejuruteraan.

"Kau pulak, terus nak balik ke ni? Tapi bas ni tak pergi Larkin tau." Soal dia kepada aku. Perempuan yang lebih kurang sebaya kami di sebelahnya menoleh. Mungkin kerana perbualan kami telah melepasi saat yang ke sepuluh itu sedikit mengganggu.

"Nak balik, tapi aku ingat nak singgah Kotaraya dulu. Tak pun Komtar je (ketika itu City Square masih belum diberanakkan lagi). Saje nak tengok-tengok. Apasal, nak ikut ke?" Tiba-tiba mulut aku mencabulkan diri. Ayat-ayat yang sepatutnya hanya mengandungi jawapan telah diselitkan dengan tawaran tak bermoral. Aku jadi segan, jadi malu sendiri. Dalam hati, aku berdoa agar dia menolak pelawaan aku. Bukan apa, tak pernah sepanjang hayat aku berjalan berdua dengan mana-mana perempuan yang bukan muhrim.

"Hmm, boleh jugak. Aku pun lapar ni." jawabnya ringkas.

...bersambung.

16 comments:

Mr.Clive Says:
March 2, 2012 at 12:34 AM

hahaha banyak betol nada sarcastic dalam entri ni...setailo. XD

Telor Power Says:
March 2, 2012 at 2:21 AM

kehkehkeh.....dari niat tak nak cari andoh, akhirnya ada andoh yg menyapa.



wa tunggu lu punya sambungan cerita bro..

Lady Windsor Says:
March 2, 2012 at 7:38 AM

3rd!
ko buat entry ke jawab exam ni woiii!

Lady Windsor Says:
March 2, 2012 at 7:38 AM
This comment has been removed by the author.
SM Says:
March 2, 2012 at 7:40 AM

clive : aku tak reti berjiwang.

TP : belum lagi, perjalanan masih panjang.

LW : jawab exam?

Lady Windsor Says:
March 2, 2012 at 8:22 AM

ye lah..panjang berjela-jela entry ko macam jawab soalan exam plak

ralphrazaq Says:
March 2, 2012 at 10:04 AM

sm - nasib baik ada garapan cerita..takde la macam mat bunga sangat hahaha..

SM Says:
March 2, 2012 at 11:23 AM

LW : aku tengah ada mood nak menaip banyak-banyak.

ralph : apa, kau ingat aku ni mat leleh ke? ceh!

ralphrazaq Says:
March 2, 2012 at 11:55 AM

SM - Ape kes nak imbau kenangan lama je ni? hahahaha

SM Says:
March 2, 2012 at 12:45 PM

ralph : tukar angin sekejap.

NenetPenne (NP) Says:
March 2, 2012 at 2:07 PM

panjang tu ok tapi jangan meleret2 sangat..

entry semalam best... short tapi padat...

peace no war...hikssss

SM Says:
March 2, 2012 at 4:25 PM

aku tengah rajin menaip berjela-jela. yang baca pun bukan orang lain, aku jugak. hahahaa!!!

Pok Amai-Amai Says:
March 2, 2012 at 4:43 PM

Erk? CIte lama. Cite ko mcm ade sikit cite aku gak...wahahahah!~

SM Says:
March 3, 2012 at 9:04 AM

MF : apasal asyik sama je? tang mana, transit link atau EC?

reen afny Says:
March 19, 2012 at 5:40 PM

hamboiiiii jiwang nampak bro! yeeeeee karatssss

SM Says:
March 19, 2012 at 11:19 PM

ra : saje mengimbau kenangan lama...