Lima Kisah Cinta Dalam Satu Tragedi

| Thursday, January 05, 2012 | |


Kisah Cinta 1
Pertemuan pertama antara si lelaki dengan si perempuan adalah di stesen bas jarak jauh di sebuah bandar besar pada satu pagi. Si perempuan adalah seorang yang lurus, datang dari pekan kecil ke bandar itu untuk menghadiri satu temuduga kerja yang penting pada hari yang sama. Namun, saudara perempuan yang sepatutnya datang menjemputnya dan menghantarnya ke tempat temuduga tersebut terlalu sibuk untuk menunaikan janjinya. Jadi, si perempuan terpaksa meminta pertolongan daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya. Walau pun menerima pertolongan lelaki itu dengan penuh curiga dek kerana sering dimomokkan dengan kejahatan dan tipudaya penduduk kota besar oleh saudara perempuannya, dia tetap juga berjaya melalui temuduga tersebut hingga berjaya ditawarkan kerja yang lebih baik berbanding menjadi cikgu sekolah di tempat asalnya. Pertolongan singkat itu rupa-rupanya telah menerbitkan rasa rindu apabila mereka berpisah setelah lelaki itu menyelesaikan tanggungjawabnya dengan menghantar perempuan itu ke rumah saudara perempuannya. Tiada acara bertukar-tukar nombor telefon, tiada juga perbualan yang menjurus kepada soalan-soalan peribadi sepanjang sehari suntuk mereka bersama, malahan nama juga tidak disebutkan oleh lelaki itu. Keparahan rasa rindu si perempuan itu akhirnya membawa dia sekali lagi pergi ke bandar besar itu untuk mencari lelaki terbabit tanpa berbekalkan apa-apa maklumat pun, kecuali rasa rindu yang diwakili sekotak rokok King's peninggalan si lelaki. Begitu juga dengan si lelaki, rasa rindu yang dalam akhirnya telah manjadikan dia nekad mencari si perempuan di kampung asalnya dengan hanya berbekalkan nama pendek, walau pun selama enam bulan sebelumnya dia telah pun tidak kurang 50 kali menunggu kemunculan si perempuan di stesen bas yang sama.


Kisah Cinta 2
Si lelaki berumur empat bulan lebih muda daripada si perempuan. Namun, itu tidak menghalangnya daripada tunduk terhadap rasa cinta yang dihamparkan oleh si perempuan ke wajahnya. Akan mengenakan baju dengan warna yang sama seperti si perempuan tanpa pengetahuan perempuan itu, sehingga menjadi bahan jenaka di tempat kerja lelaki lulusan diploma dan berpendapatan sebanyak Rs9000 sebulan. Cinta yang menular di dalam jiwanya bukanlah cinta pandang pertama, bukan juga cinta yang datang dari keluhuran hati si perempuan,  jauh sekali cinta yang muncul dari budi. Rutinnya setiap pagi sebelum berjaya memenangi hati si perempuan adalah, bersedia di balkoni rumah sewanya sebelum matahari muncul dari ufuk timur menanti kelibat si perempuan dari kejauhan sana, kerana buah hati yang belum dimilikinya itu adalah jiran yang tidak dikenalinya dengan jarak sepelaung sahaja. Namun begitu, apa yang menjadikannya seperti seekor kera mendapat bunga tanjung adalah penerimaan si perempuan secara tiba-tiba pada suatu pagi. Tiada perancangan usik-mengusik di tengah jalan, tiada juga adegan tidak dirancang seperti berlaga bahu di tengah kesibukan pasar. Dia begitu gembira dengan penerimaan si perempuan dan terasa sangat bertuah memiliki cinta si perempuan, walau pun pada masa yang sama terdapat juga lelaki lain yang telah sedia meminati perempuan yang sama sejak enam tahun lalu. Selain itu, ketua balai yang dia takuti di kawasan itu adalah bapa kepada perempuan itu, yang mana akan mengerlingkan mata ke arah rifle yang tersandar di dinding balai setiap kali dia datang bertanyakan persetujuan hubungannya dengan si perempuan. Persetujuan si ketua balai yang bengis itu akhirnya membawa pasangan kekasih ini ke tempat asal si lelaki di sebuah pekan besar untuk diperkenalkan dengan keluarganya.


Kisah Cinta 3
Seorang bapa yang terlalu rindukan anak perempuan yang tidak pernah ditemuinya sejak lahir, akhirnya membuatkan dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman setelah lebih lima tahun mencari rezeki di Dubai. Semenjak si anak diajar dengan erti kasih sayang dan apa itu makna rindu, dia akan mengatakan dia sedang dalam perjalanan pulang untuk menemui si anak, setiap kali si anak kecil itu menghubunginya. Tetapi, kali ini bukanlah lagi suatu pembohongan. Dia sememangnya sedang dalam perjalanan pulang ke pangkuan keluarga. Kegembiraannya itu jika boleh mahu saja dihebohkan kepada semua penumpang yang ada, kepada pemandu bas, kepada konduktor tiket atau kepada tuhan... Selama ini, gambar dan suara yang terakam kemas di telefon bimbit sahaja yang menjadi pengubat rasa rindunya tidak akan lagi diperlukan kerana kehangatan jasad bernyawa kedua-dua isteri dan anaknya bakal berada dalam dakapan kemas dan kucupannya tak lama lagi. Dan perjalanan yang sedang ditempuhinya itu diharap menjadi perjalanan terakhirnya kerana dia tidak mungkin akan pergi jauh dari orang tersayang sekali lagi.


Kisah Cinta 4
Perkenalan sepasang remaja dari dua buah institusi pengajian tinggi berlainan berlaku dalam dalam sekelip mata telah dihiasi dengan gelagat lumrah remaja lelaki yang cuba mencuri perhatian si remaja perempuan. Bermula dari kosong, sedikit demi sedikit usaha si remaja lelaki untuk memasuki dunia si remaja perempuan semakin berhasil seiring dengan perjalanan yang mereka tempuhi bersama. Babak masalah teknikal kenderaan yang mereka naiki, permintaan para penumpang dan konduktor yang mahu bertukar-tukar tempat duduk langsung tidak meninggalkan kesan kepada mereka. Sebaliknya mereka terus-terusan bertukar jelingan, pandangan dan usikan kecil. Malangnya, pertemuan pertama mereka ini bakal menjadi pertemuan mereka yang terakhir...


Kisah Cinta 5
Sepasang suami isteri yang belum mempunyai anak dan mungkin juga baru mendirikan rumahtangga, bagaikan kutub positif dan negatif pada sebiji bateri alkaline. Saling tidak dapat dipisahkan walau pun untuk beberapa saat. Begitu mesra bergurau senda, seolah pasangan remaja monyet yang sedang bercumbu di tepi padang sekolah. Sangat manis sekali hingga mengundang senyum gelihati di bibir orang sekeliling. Gurau senda, usik mengusik dan cubit mencubit pipi, begitu comel diperlakukan oleh sepasang suami isteri. Namun semuanya dalam keadaan terkawal kerana mereka tahu batasan perlakuan di tengah khalayak. Janji si suami, dia akan hanya menghantar si isteri di stesen bas sahaja. Namun janji itu sengaja tidak ditepati kerana tidak sanggup berpisah dengan si isteri. Maka, dia membuat janji baru dengan hanya mengikuti isterinya hingga sampai di hentian yang pertama. Tetapi, janji seorang lelaki bergelar suami kurang boleh dipercayai. Itulah yang dia buktikan apabila sekali lagi dia enggan turun dari bas, dan berjanji mengikuti si isteri hanya untuk satu stesen lagi. Begitulah penangan cinta yang mampu menciptakan rindu sebaik si isteri hilang dari pandangan mata untuk beberapa saat...


Tragedi Dari Dalam Kotak Berkaca
Sepanjang lebih kurang dua jam sepuluh minit menatap skrin, tiada langsung dipaparkan kisah-kisah klise tentang polis korup, wakil rakyat yang menghisap darah golongan rakyat bawahan, bapa yang enggan mengahwinkan anak perempuan atas alasan perbezaan kasta, seorang gadis kolej yang sering diekori cinta atau pun watak lelaki kacak yang menjadi wira setempat membelasah samseng-samseng jalanan. Semua itu tiada dalam Engeyum Eppodhum yang aku dah tonton sebanyak dua kali sejak beberapa hari lalu. Nak menentukan watak protagonis, tiada. Nak mencela watak antagonis, juga tiada. Apa yang dipaparkan adalah kisah-kisah seharian yang kita atau orang sekeliling kita tempuhi sehari-hari. Tiada isu-isu remah atau masalah negara yang menyesakkan dada. Kesemua kisah cinta ini disuntik ke dalam satu peristiwa yang menjadi titik pertemuan dan pada masa yang sama menjadi klimaks kepada jalan cerita. Penulis lakon layar telah menyusun jalan cerita dengan bijak sehingga keseluruhan kisah dapat diceritakan dengan teratur dan tidak berserabut, tetapi pada masa yang sama tidak jauh meninggalkan tema utama iaitu kejadian kemalangan jalan raya membabitkan dua buah bas yang membunuh beberapa watak utama. Perjalanan jarak jauh antara bandar Chennai dengan Trichy menjadi perjalanan terakhir untuk beberapa watak, dan menjadi garis permulaan kehidupan baru untuk watak-watak yang lain pula. Satu lagi perkara yang menjadi perhatian aku adalah, babak nyanyian yang dipenuhi busana berwarna-warni dan dilatari dengan pemandangan indah telah ditiadakan sama sekali. Cuma lagu ringkas tetapi diselangi oleh dialog watak-wataknya. Amat menyenangkan. Berlatarbelakangkan bandar Chennai dan Trichy (kalau tak silap aku la) sebagai lokasi utama, filem ini hanya dihiasi situasi dan suasana yang biasa-biasa sahaja namun peralihan dari satu plot utama ke sub-plot yang lain langsung tidak mengganggu pemahaman aku. Malah telah mencantikkan lagi jalan ceritanya. Setelah filem Nandalala diberikan sebanyak 4.9 bintang dahulu, aku ingin sekali memberikan 3.8 bintang untuk filem Engeyum Eppodhum ini. Dan akhir sekali, sama seperti penutup dan tema utama kepada filem ini, aku ingin memberi nasihat tak berguna kepada `road bastard' di luar sana agar memandulah dalam keadaan yang merbahaya apabila anda telah sedia menjadi penghuni neraka kelak.


Kini sedang ditayangkan di Asstro Pejabat Kotak, Channel 951 Tangathirai. Sampai bila aku peduli apa, yang penting aku sangat terhibur berbanding kawan-kawan aku yang ramai bengang dengan ending Tentang Dhia yang macam gampang. Padan muka korang! Hahahaa!!!



Sekian entri review filem tamil terkini.

31 comments:

Lady Windsor Says:
January 5, 2012 at 3:01 AM

1st! Asstro belum sampai lagi rumah aku...gaduh dgn TM belum settle..aku nak g outstation dulu..peh ni baru bleh fikir pasal asstro.

SM Says:
January 5, 2012 at 7:27 AM

hahahaa..! gaduh, jangan tak gaduh.

Lady Windsor Says:
January 5, 2012 at 8:20 AM

entry ko ni betul2 buat aku penasaran..damn!

Anonymous Says:
January 5, 2012 at 8:27 AM

terbaekkk..

sy suka tgk citer tamil berbanding citer hindi yg ntahapahapantah...

Pok Amai-Amai Says:
January 5, 2012 at 8:30 AM

Oh, review cite upenye...

Igtkan cite psl ko la td. Hiks~

blu4sky Says:
January 5, 2012 at 8:34 AM

hahahah..rumah aku dah takde astro nak layan cerita tamil...
jadi aku layan cerita korea kat youtube :p

btw, Happy New Year!!!

p/s: LW Happy New Year to you too... masih tak dapat nak masuk blog you..bila masuk cuma header ngan background je nampak..entry semua tak loaded.. :(

Anonymous Says:
January 5, 2012 at 8:59 AM

Blu: Wish u bonne annee!
I pun x pasti pasai apa blog tu jadi cenggitu,..bukan u sorang tak leh view...ada colleague pun x bleh masuk gak...tak mungkin ada stalker sebab blog i tu blog ciput jer..kehkehkeh!

SM: sorry guna blog ko jadi port diskusi..quote to NP, sungguh aku tak 'menahan' dengan review citer tamil ko tu..aku dah finale decision nak tamatkan riwayat TM walopon aku rugi RM500..shilake sedut duit customer cenggitu je...tengok la lagi dua tiga tahun, lingkup la TM!

LW

SM Says:
January 5, 2012 at 10:17 AM

anon : aku tak gemar hindi, serious shit!

MF : pergh, takkan cerita cinta aku sampai ada lima kot? tak menahan!!!

blu : layan korea? ceh... auwww...!

LW : takpe, takpe. diizinkan. korang punya pasal, no hal punya.

Neklong Says:
January 5, 2012 at 11:05 AM

neklong nak usha gak laa layan cite ginih.. tapi selalunye movie yang layan neklong yang tertido disofa... ehehehe...

Neklong dah folo awk ye SM.

SM Says:
January 5, 2012 at 11:08 AM

nl : terima kaseyyy...! pelan-pelan kayuh, jangan paksa.

NenetPenne (NP) Says:
January 5, 2012 at 1:56 PM

sorry aku tak tengok citer TENTANG DHIA..sebab citer tu merepek meraban... dan tak kuasa nak layan kawan2 kat pejabat yang sibuk berdiskussi tentang citer tu


kalau cenggini lah citernya aku kena langgan lah channel thanggathirai ni... kau nanti jemput datang ke rumah yer... jangan bimbang, LW pun ada jugak....

SM Says:
January 5, 2012 at 2:21 PM

NP : join the club! tapi aku tak berani la beb kalau LW ada, dia kata nak pukul aku sampai koma. hahahaa...!

NenetPenne (NP) Says:
January 5, 2012 at 2:24 PM

aku dah lama minat tamil laaa
cuma tak langgan jer...
alahhhh LW acah2 jer..apa la kau ni..
jangan byk alasangggg okay..

SM Says:
January 5, 2012 at 2:26 PM

tapi... kalau dia pukul betul2 macamana weh. rumah kau sebelah hospital ke. tengah ketar dagu ni...

reen afny Says:
January 5, 2012 at 4:40 PM

MALAS NAK BACA....

SM Says:
January 5, 2012 at 4:54 PM

ra : aik, pakai huruf besar nampak. penat aku taip tengah-tengah malam.

Pok Amai-Amai Says:
January 5, 2012 at 5:38 PM

Weh, sape anon tu? Jgnlah doakan kelingkupan TM sbb laki aku keje situ wehhh!

Sm - Beb, word verification aku dpt - PATAT

Hahahahahahahahahaha! Aku tak tipu nie! Mcm sinonim dgn ko weh! Hahahahahaha!

SM Says:
January 6, 2012 at 12:05 AM

MF :

entah, aku pun tak tau siapa si anon ni. jangan takut, doa untuk melingkupkan TM takkan makbul sebab mereka adalah sole provider untuk servis perhubungan tetap kat malaysia ni dengan mengamalkan perniagaan ala `monopoly marketing'.

blogger.com memang macam-macam perangai bila bab word verification.

sinonim dengan aku? tak faham aku...

reen afny Says:
January 6, 2012 at 4:37 PM

alaa yeke. kena baca jugak la ni eh. huhu panjang ngat. huhu

SM Says:
January 6, 2012 at 4:39 PM

lain kali aku buat tajuk je. haa...

reen afny Says:
January 6, 2012 at 4:41 PM

hahaha sengal... okayy, nanti kteorang sambung cerita entry tu lak. hehe

SM Says:
January 6, 2012 at 4:43 PM

dah jadi macam pertandingan sambung cerita pulak macam tu...

reen afny Says:
January 6, 2012 at 4:51 PM

okayy.. lepastu bagi hadiah bintang okay..

SM Says:
January 6, 2012 at 4:58 PM

nak bintang ke, nak binatang ke, apa ke takde hal. janji kau rajin dan kekal fokus.

reen afny Says:
January 6, 2012 at 5:11 PM

binatang? haha aku nak hamster yang gebuw! yela rajin la ni. huhuhu

SM Says:
January 6, 2012 at 5:14 PM

back to the topic pleasa, and stay focus!

this entry is about a tamil movie which is the theme is rarely seen on malay/local cinema.

(ter`speaking' pulak)

reen afny Says:
January 6, 2012 at 5:26 PM

it's please, not pleasa.. correction! haha

okayy, tak baca pun. so tak tahu cerita tamil rupanya. ingat hindustan...

btw, cerita tamil lagi best sebap kelakar. hahaha

SM Says:
January 6, 2012 at 5:29 PM

SEBAB, bukan SEBAP!

reen afny Says:
January 6, 2012 at 5:42 PM

BAIK.... T__T

perempuan Says:
January 9, 2012 at 4:03 PM

testing! testing!

SM Says:
January 9, 2012 at 5:32 PM

"ai leb tamil movies!!!"
(komen yang tak nak tubik tengahari tadi, aku malas nak cari punca)

reply:
tak boleh lawan dengan aku punya obsesi yang dah obes ni! kalau dapat tengok diorang menari kat landskap sekitar putrajaya secara `hidup', boleh histeriaaa....!!!