Dinding Kaca

| Thursday, November 24, 2011 | |

Gedegang! Gedegang...! Hantukan keras kepalanya menggegarkan sisi kabinet dan mengocakkan sedikit permukaan air yang sebelumnya tenang sejak pagi tadi. Rasa kebosanan semakin lama semakin membarah di dalam segenap urat sarafnya. Kepala hotaknya sedikit berpusing, pandangan mata kuyunya agak berpinar bukan kerana kesan hantukan pada dinding kaca sebentar tadi, tapi dek kerana air yang keluar dan masuk ke dalam mulutnya. Memualkan. Terasa seperti mengemam najisnya sendiri, muntah! Tapi dia harus menahan daripada mengeluarkan isi perutnya, kerana dia tak mahu jadi satu-satunya makhluk tuhan yang akan menyedut muntah sendiri. Membuatkannya lebih kurang sama jijik macam Badang yang sanggup memakan muntah jembalang sungai.


Sepanjang pagi ni, tiada apa yang dapat dia lakukan selain melekap pada dinding kaca menyedut kesan-kesan kotoran lama dan baru. Cuma itu sahaja yang mampu dia lakukan, memandangkan telah dua hari sajian kegemarannya tidak dihulurkan dari atas sana. Habis meleser di bucu kiri, dia mengheret pula dirinya perlahan-lahan ke arah bucu yang satu lagi. Begitulah rutinnya, amat membosankan!


"Celaka! Aku mesti berambus dari sini secepat mungkin. Tempat ni dah macam neraka. Aku pasti si Carassius yang berperangai macam jahanam tu mesti dah kena campak kat tempat yang teruk macam ni. Padan muka, dulu masa kau hidup selalu sangat kau mengutuk aku". Plecostomus bercakap sendirian dalam hati. Memang kehidupannya sedikit berubah sejak kehadiran Carassius beberapa bulan yang lalu. Berubah daripada menjalani kehidupan yang normal menjadi kepada hidup seperti dalam neraka jahanam tingkat paling bawah.


Walau pun dia adalah penghuni paling senior dan telah diam sejak tempat itu dibuka, namun dia sering menjadi mangsa cemuhan sinis oleh si Carrasius lantaran keadaan fizikalnya yang menjelikkan. Antara mereka, dia dikenali sebagai pengotor kerana kegemaran dan tabiatnya yang gemar melekap pada dinding kaca sepanjang hari sambil mulutnya sentiasa menghisap kekotoran yang bertapak di dinding sama ada lendiran sisa makanan, sisa buangan atau pun lumut-lumut muda.


Tapi kesengsaraan hidupnya yang bertahan beberapa bulan itu tamat dua hari lalu, apabila Carassius ditemui tidak bernyawa di celah-celah gazebo buatan bersebelan dengan filter power head sana. Kematian si Carassius tidak disedari Plecostomus oleh kerana mereka berdua memang jarang bertegur sapa, hanya diketahui olehnya apabila tubuh Carassius diangkat keluar betul-betul di hadapan matanya.


Kini, dia terpaksa meneruskan kehidupannya sendiri, sekali lagi. Jika Carassius tidak diambil kira, setakat ini dia telah menghuni tempat neraka itu bersama-sama empat yang lainnya silih berganti. Semuanya mati sama ada oleh sebab keracunan air atau bergaduh sesama sendiri.


Renungan mata kuyunya makin jauh. Jauh bukan setakat menembusi dinding kaca betul-betul di hujung misainya, malahan menembusi pintu solid hingga dia dapat membayangkan apa yang ada di dunia luar sana. Dirasakan udara dan air yang bercampur di sini semakin melemaskan. Menyesakkan nafasnya. Ke utara dia bosan, menuju ke selatan dia terasa lebih celaka, atau sekadar mundar-mandir di sekeliling ruang sempit itu juga membuatkan dia macam nak gila.


Ah, sial la...! Aku nak berambus! Berambus dari neraka yang maha celaka ni! Dia menjerit dalam hati. Badannya diregang sepuas-puas hati, mengeliat melintuk seakan-akan menari mengikut rentak lambada. Di dalam kepala hangguknya dah sedia terbayang akan udara nyaman dan segar yang bakal menusuk masuk menyelinap ke seluruh tubuhnya. Bagaimana titisan rintik hujan hujung November bakal menitis ke mukanya tatkala dia menari-nari gembira di luar kelak. Dan apabila telah penat menghayati atmosfera dunia luar sana, dia boleh merebahkan badannya di perdu pokok mangga di simpang jalan besar sana. Ah, inilah bayangan syurga sebenar yang sentiasa menjadi mainan imaginasinya.


Tapi bagaimana aku nak melepaskan diri dari kurungan zalim ni? Siapa yang akan tolong aku? Apakah aku memang dilahirkan semata-mata untuk menjadi seperti apa yang aku jadi sekarang?


Rasa benci mulai merebak kepada ibu bapa kandungnya, asal keturunannya juga mula dipersoalkan. Dia rasa, memang sesuatu yang bodoh apabila nenek moyangnya dulu mengamalkan cara hidup yang penuh kekotoran dan menjijikkan. Walau pun mereka mendiami tempat yang serba mewah dan berprestij tinggi, mereka tetap menjadi pengotor apabila tibanya waktu makan. Sungguh jijik. Dia juga mulai menyesal kerana tidak mati sebelum dilahirkan. Apa guna dikurniakan usia hingga ratusan tahun kalau sepanjang hayatnya dia hanya menjadi makhluk berkasta paling rendah?


Tolong, tolong aku. Tolong lepaskan aku dari sini... Suara sayu hatinya merintih...


******************************


Petang itu, sedang Plecostomus asyik menguis-nguis najisnya yang melekat di celah-celah bongkah kayu, dia dikejutkan dengan satu suara yang pernah dikenalinya dulu. Gemersik suara itu pernah menjentik pendengarannya beberapa tahun dulu, sebelum pemilik suara itu memutuskan untuk meninggalkannya sendirian menghadapi ejekan penghuni lain. Suatu keputusan yang amat-amat dibantah. Bukan kerana dia tidak mempunyai kawan yang lain, tapi kerana dia tak mahu pemilik suara itu bergelandangan di luar sana dan menjalani hidup seperti dirinya.


"Eh, Achatina!" Mulutnya menjerit sebaik dia berpaling ke arah susuk tubuh yang sudah semakin berisi sejak kali terakhir dia melihat sahabatnya itu.


'Achatina...!" Jeritan deras yang keluar dari pangkal kerongkongnya semakin lama bertukar nada menjadi sayu. Air matanya mulai bertakung membanjiri penglihatannya sehingga membuatkan dia hampir-hampir melanggar salur blower.


Achatina tersengih. Sengihan yang amat menggembirakan. Mulut tak bergigi yang amat dia rindukan. "Ke mana kau pergi selama ni? Kenapa kau pergi tanpa pengetahuan aku dulu? Kau sihat sekarang? Kenapa kau tak pernah kirimkan berita kepada aku? Apakah kau dah berjumpa sahabat baru selain aku? Adakah kau tak rindukan aku?"


Bertubi-tubi soalan yang tertembak keluar melalui bibir lepernya, seakan tidak membenarkan Achatina bernafas. Dirangkul, dihimpit, digulingkan dan habis diasak tubuh Achatina hingga separuh badan berlendir Achatina terbenam ke dasar butiran batu-batu halus.


"Aku ada, tak ke mana-mana sangat pun. Cuma mencari cabaran dunia realiti di luar sana." Jawab Achatina dengan butiran perkataan yang kurang jelas dek kerana sengihannya yang semakin melebar. "Kawan, kau macamana sekarang. Kau tak banyak berubah sejak aku pergi dulu.'


Riak wajah Plecostomus yang berbau harum dan ditumbuhi flora cinta Min Malik kembali mendung, redup. Dalam tempoh tak kurang setengah saat, graf keceriaan yang mengalas wajahnya jatuh merudum hingga ke paras negatif. Air mata yang menjulur hingga ke hujung misainya segera ditepis seolah-olah mahu menyembunyikan perasaan hiba yang maha hebat ketika itu. "Hm, aku macam ni jugak. Tetap tak berubah sebagaimana kau tinggalkan aku dulu. Selagi tempat ni wujud dan berbentuk kiub, selagi itu la aku tetap tak berubah." Tenang suara Plecostomus menjawab hampir tidak didengari.


"Kawanku, aku kira kau dah ketemui segala jenis kebahagiaan yang dulu kau amat dambakan bukan? Maafkan aku sebab pernah menghalang kau dulu." Kata Plecostomus.


"Ah, tak mengapa. Sebentar lagi aku akan ceritakan apa yang ada di luar sana. Kau pasti teruja dengan apa yang aku jumpa selama ni. Cepat, bawakan aku ke tempat kita membuang masa dulu." Achatina meninggikan sedikit suaranya seakan mahu menceriakan sedikit suasana. "Lagi pun aku takkan singgah lama disi, cuma mahu menjenguk sahabat. Mungkin esok pagi aku akan kembali berkelana."


Mata Plecostomus yang sejak azali sepet kuyu serta-merta membundar, terkejut dengan kata-kata sahabatnya. "Kenapa cepat sangat? Aku belum puas menatap wajah kau."


"Dan aku ada sesuatu yang perlu diceritakan kepada kau, mungkin aku tak akan sempat menghabiskan cerita aku sebelum waktu syuruk esok. Tolong la jangan pergi dulu..." gesa Plecostomus sambil menyeka lendiran yang masih tersisa di hujung bibirnya sejak tengah hari tadi.


"Ha, aku tau mesti kau teringin juga nak keluar dari neraka ni kan? Itu bukan masalah besar. Sepatutnya kau ikut apa yang aku ajukan dulu. Kau perlu berani..." Sengihan Achatina bertukar menjadi senyuman sinis, penuh terisi makna mendalam.


"Itu lah yang aku nak ceritakan kepada kau sebentar lagi." Jawab Plecostomus selamba...


******************************


Tak boleh jadi, dia mesti laksanakan rancangannya pagi ini jugak. Segala-gala perancangan telah siap disusun sejak Achatina mengheret diri pergi meninggalkan dirinya buat kali kedua malam tadi. Kata Achatina, waktu gelap adalah waktu yang paling sesuai untuk menyusup keluar masuk ke ruang neraka itu. Dia tidak pasti dengan kebenaran teori apokalips sahabatnya itu, biarkan. Biarkan sahaja teori persenyawaan beradas menjadi pemalar dalam penentuan kadar ketumpatan sesuatu jisim dalam ruang vakum itu berkubur. Dia tidak peduli.


Takkan dia peduli dengan tips-tips untuk melepaskan diri sebanyak tiga halaman bercetak font bersaiz 12 dan menggunakan Times New Romans sebagai font style. Dia tahu, dan dia memang telah sedia menghafal tips-tips itu sejak bertahun dulu. Sejak dia ditinggalkan terkotak-katik dibuli sendirian. Kerana teori dan tips-tips sebagaimana yang diajar Achatina itu sama dengan yang mereka telaah ketika membesar bersama dulu.


Cuma ketika itu dia tidak mempunyai kekuatan untuk melepaskan jasadnya melepasi dinding kaca itu. Takut, tiada keberanian. Langsung tidak seperti Achatina yang mempunyai keinginan sebegitu kuat, sehingga mampu membawanya keluar menerobos ke dunia yang lebih real. Realiti yang selama ini cuma ada dalam kotak imaginasinya setiap malam.


Janji mereka, Achatina akan menunggu Plecostomus antara tongkolan batu-bata serpihan binaan dengan tembok berkemasan pebble wash setinggi dua kaki, sebaik sahaja matahari mula menampakkan jalur cahayanya dari celah-celah perumahan highrise kos rendah di sebelah timur sana. Itu yang semakin menguatkan semangatnya, bak Rusdi Ramli ketika berlakon dalam drama Spektra, Hati Waja lama dahulu. Drama celup kegemarannya yang membuatkan dia sering membayangkan dirinya seperti pesilat kampung, sepertimana watak lakonan hero kacak itu. Tembok pebble wash itu memang telah menjadi jamuan matanya setiap pagi dan petang, tatkala pintu solid di depan sana terbuka untuk membolehkan penghuni selain dirinya meloloskan diri keluar masuk.


Cuma kali ini, dia yakin. Tak lama lagi, permukaan menggerutu itu bukan lagi dapat dilihat dari jauh, malahan dapat dicium  sepuas-puasnya. Mengikut perkiraan kasar dengan menggunakan persamaan kuadratik dan menggunakan nombor perdana sebagai pekali, dia yakin peluangnya akan tiba dalam masa beberapa minit lagi.


"Eh, sampai bila lagi kau nak jadi pengecut macam ni? Kau nak mati di sini jugak ke? Jangan biarkan takdir kau berlaku dengan sendirinya. Kau yang harus memilih takdir kau. Bukan aku, bukan juga Tuhan. Sekarang aku dah bagitau apa yang patut kau buat. Terserah pada engkau sama ada kau mahu terus menjadi pengecut." Masih terngiang-ngiang lagi kata Achatina di telinganya usai mereka menjamu selera bersama setelah beberapa lama. Makam malam yang penuh bermakna, walau pun hanya berbekalkan menu yang biasa dia hadam setiap hari. Dalam hati, dia lega kerana Achatina masih sudi berada di sisinya walau pun cuma untuk beberapa jam. Harapannya untuk menunggu tangan Tuhan dihulurkan menyeberangi dinding kaca ini sudah tiada lagi. Tuhan tidak boleh diharap, sengaja mahu aku mati di neraka ni!


"Selama bertahun-tahun kau hidup sebagai penganut kasta paling hina. Dimaki, dicaci dan dikeji setiap penghuni lain. Apakah kau sudi lagi menunggu penghuni baru yang bakal menggantikan tempat Carassius dulu? Tidak. Kau tidak perlu mati di sini sebagai makhluk yang bacul. Ini bukan tempat untuk mati yang baik. Kau juga berhak menikmati hidup dan menunggu kematian di tempat seindah syurga. Cepat, semakin lama kau pertimbangkan cadangan aku, rasa takut kau akan kembali memakan semangat kau yang selama ni terbakar." Tambah Achatina lagi. "Aku sudah mengenali kau sebagai makhluk hina, dan aku tak mahu melihat kau juga mati hina. Sudah lah kau tak tahu di mana kau dilahirkan, malahan kau tak pernah kenal siapa ibu bapa kau. Tarikh lahir sebenar kau pun tak pernah kau pedulikan! Sekarang lah masanya..."


Desakan demi desakan Achatina yang memukul dirinya semakin membuatkan dirinya panas. Nekad. Kini tekadnya sudah semakin bulat. Hari ini adalah hari terakhir dia menjadi makhluk hina di situ. Dan sebentar lagi, dia akhirnya akan menikmati nyamannya udara pagi.


Kreeuuuk... Pintu hadapan setebal labih satu inci dan diperbuat dari kayu itu dibuka perlahan. Sedikit cahaya menerpa masuk, menyuluh terus ke muka Plecostomus. Matanya terkebil-kebil menantikan saat yang sesuai. Segalanya sudah di dalam kepala. Penghujung dinding kaca kini tinggal beberapa sentimeter sahaja lagi dengan kepalanya. Jarak yang paling ideal.


Dia berundur sedikit, sedia untuk membuat gerakan Ussain Bolt menerpa garis penamat.


Tap! Dammm....


Bunyi punat pada door knob ditekan kasar dan perlahan-lahan pintu ditutup rapat, sekaligus melenyapkan tembakan cahaya pagi dari luar. Serentak dengan itu, Plecostomus seterusnya melonjakkan dirinya melepasi dinding kaca sekuat-kuat hati.


Dia tidak menoleh lagi, tak perlu. Kerana kini tubuhnya sudah terawang-awang di udara menanti untuk mendarat ke atas permukaan yang menjanjikan permulaan perjalanan hidup baru...


Plaap...!


******************************


"Woi Bagong, apahal lu punya ikan ni melepek kat atas lantai ni? Tengok ni, habis kena hurung semut, lu tak perasan ke masa balik tadi?" Pitun menjerit dari ruang tamu rumah teres dua tingkat itu, tak ubah macam cikgu disiplin terpijak taik.


"Ikan apa pulak, kan ikan emas gua dah kojol kelmarin." Tingkah si Bagong dari dalam jamban. "Gua nak berak pun tak senang la lu ni!"


"Eh bongok, ikan bandaraya lu ni la. Ikan mana lagi. Kan gua dah suruh lu buang je dalam parit belakang sana hari tu. Busuk tau tak? Pemalas macam lembu la lu ni, dasar jantan perosak wanita!" Keras nada suara Pitun dilempar ke arah pintu jamban sambil tangannya menguis-nguis bangkai ikan di lantai ruang tamu menggunakan gulungan majalah Mangga. "Patut la gua tengok banyak semut beratur masa masuk tadi."


"Ala, lu setelkan la sekejap. Gua sakit perut sial. Ni gara-gara lu punya nasi goreng malam tadi la ni." Rintih Bagong sayup.


"Huh, gua jugak kena..." Kata Pitun. Matanya liar mancari penyapu yang tak pernah wujud di rumah bujang itu. "Tank ni bagi gua boleh? Gua nak tanam pokok lengkuas. Mak awek gua bagi la..."


(dah lama rasanya aku tak buat cerita pasal binatang, tapi malas pulak nak taip panjang-panjang sebab aku sendiri malas nak baca)

26 comments:

Lady Windsor Says:
November 24, 2011 at 4:33 AM

Hebat imaginasi ko...lengkap! Plotnya bagus dan kemas. Ko berjaya menimbulkan unsur suspen. Paling aku suka, ko berhasil menjiwai watak spesies ikan DBKL tu...cayala beb! Kalu aku jadi editor majalah Tunas Cipta, aku akan pilih cerpen ko ni untuk disiarkan...

Fara Says:
November 24, 2011 at 10:39 AM

Ceh! Kuang ajar si Pitun! Dpt kat aku, mmg aku goreng bandaraya tu kasik makan je kat die. Emosi aku tau tak! Nak bela ikan, belalah elok2! Nie tak! Kasi dera btpe?

Ceh!

>=p

SM Says:
November 24, 2011 at 1:26 PM

LW: hahaha, kembang siut lubang hidung aku bila kau up macam tu, walau pun aku tau ni bukan tahap cerpen. tapi macam karangan masa aku ambik spm dulu. hahaa...

MF: ah kau tak abis-abis nak emosi dengan aku. tapi takpe, aku suka. memang sengaja nak cari bahan buat kau emosi pun. hahahaa...!

SM Says:
November 24, 2011 at 2:47 PM

weh MF, pembetulan ikan bandaraya tu bukan pitun yang punya, tapi housemate dia si bagong la... si pitun cuma suka berkebun kat laman depan dengan backyard. taman pokok cili, serai, lengkuas atau pokok kesum.

Lady Windsor Says:
November 24, 2011 at 3:10 PM

Eh macam cerpen le ko...siyes!

SM Says:
November 24, 2011 at 3:16 PM

karangan la, jauh lagi nak sampai tahap cerpen. kau bukan tak tau, aku ni pun jenis pemalas nak taip berjela-jela. ha, kau punya e-novel mana? adui...

Lady Windsor Says:
November 24, 2011 at 3:37 PM

E- novel aku ada...dlm proses...nanti arrr...

SM Says:
November 24, 2011 at 3:39 PM

tak habis-habis dengan dalam proses dia tu. hahaa... tapi kalau cerita jiwang ni, aku kurang sikit. kang jadi ubat tidur pulak.

Fara Says:
November 24, 2011 at 3:44 PM

Eh, aku silap. Cpt betol nak taip si Pitun. walhal si Bagong yg bongak! Cehh!

Dari aku dah slow down, terus emosi blk!

SM Says:
November 24, 2011 at 3:48 PM

MF : ceh, kau dengan plecostomus tu sama je, emosi boleh turun naik secara mendadak!

Fara Says:
November 24, 2011 at 4:42 PM

Aku tak suka nak panas setiap masa. Aku jenis yang fleksibel. Walaupun dlm keadaan emosi, klu org bt lawak kat aku...aku ley gelak dan2 tu jugak!

=D

SM Says:
November 24, 2011 at 4:50 PM

lepas tu kalau orang buat perangai macam si bagong, dan dan tu jugak kau nak bagi ikan bandaraya goreng cicah asam kat dia? terlalu emosional la kau ni. ini sekadar fiksyen je, walau pun tak mustahil berlaku.

Fara Says:
November 24, 2011 at 5:20 PM

...aku emosi sebab apa yg ko cite tu walau fiksyen tapi mmg terjadi. Dpn mata aku sendiri. Kalau nak bela ikan, belalah betul2. Jgn hangat2 taik ayam. Ikan pun benda bernyawa. Bukan patung terapung.

Sedih tau. Aku pnh ada usaha nak cuci akuarium tuan rumah (tuan umah letak akuarium besar gabak tu kat umah die yg aku sewa). Aku kesian tgk ikan tu duk dlm akuarium kotor, lumut, hitam...

Tapi aku yg RETI basuh akuarium! Ikan dahlah besar2! Sekali nak tangkap, die dok meliuk2. Gelilah aku. Pas dah cuci seme (makan ms sehari weh), tiba2 2, 3 hari pas tu sekor demi sekor ikan mati. Sedih weh. Uwaaaaaaaa!

SM Says:
November 24, 2011 at 5:24 PM

MF : hahaha... kau silap cuci la tu. ok, kita letakkan watak bagong tu sebagai tuan rumah kedaung, dan pitun tu adalah engkau. patut la kau baca je terus emosi. ada pengalaman rupanya. si bagong (tuan rumah kedaung) ni memang jenis manusia tak berjanggung jawab.

Lady Windsor Says:
November 24, 2011 at 7:31 PM

MF, ikan tu mati mungkin dua sebab, air terlalu banyak klorin atau air ada bakteria...

reen afny Says:
November 24, 2011 at 11:03 PM

sory lambat lagi. harini busy sangat la.. tak sempat nak baca entry kau panjang lebar tu. berpinar2 mata aku baca satu persatu. haha

btw, kau tengah cerita pasal ikan bandaraya ke? dari tadi aku dok pikir nama carassius. huhu nama pelik2 la kau bubuh.

SM Says:
November 25, 2011 at 12:19 AM

LW : tu la pasal, aku rasa pun mesti ikan tu mati sebab MF yany punya angkara.

ra : carassius tu nama saintifik, sama jugak macam achatina, siput...

Fara Says:
November 25, 2011 at 8:35 AM

LW - Kak, sy tak nak igt g. Pas akuarium tu bersih, ikan2 tu lak rs terseksa. mgknlah 2 penyebab tu la kak. Pas sekor, sekor timbul. Eii, geli nak igt. Sedih pun ya.

SM - Sedih weh bile ko kate itu angkara aku. Tp mmg angkara aku. Memandai-mandai.

Uwaaaaaaaa!

SM Says:
November 25, 2011 at 2:26 PM

MF : lepas tu kau nak salahkan tuan rumah kedaung pulak. apa da...!

Fara Says:
November 25, 2011 at 3:48 PM

Yelah sbb dia tak jaga ikan-ikan dia! Bila dia tak jaga ikan dia, mendorong aku jadi insan berhati murni. Konon nak selamatkan ikan-ikan. Tapi aku pembunuh rupanya!

SM Says:
November 25, 2011 at 4:06 PM

pembunuh senyap, jadi kau patut berkongsi kesalahan dengan dia. kau tak patut buat-buat pandai. kena reki dulu cara-cara nak membelai (tapi kes kau lebih kepada membunuh) ikan belaan ni. emosi pulak aku petang jumaat ni! dah la salahkan si pitun tanpa usul periksa. then tak nampak salah sendiri. adui...!

Lady Windsor Says:
November 25, 2011 at 5:01 PM

err ikan tu mati maybe sebab dah sampai ajal...tapi kalau ikut pengalaman aku yg pernah jadi penternak ikan di pasar dengan jayanya selama 7 tahun, maybe x cukup oksigen atau kebarangkalian paling lebar adalah adanya bakteria yang sangat halus dalam air...so jangan lah rasa bersalah MF..ikan tu hayatnya x sama dengan kita...kalau dibelai macam mana sekali pun, ia tetap akan mati kalau dah sampai ajal...eh u all pernah tengok ikan keli elektrik @ electrik catfish? akak pernah pegang ikan ni pusat kuarantin spesies haiwan lindungan di KLIA...comel gila ikan ni...badan bulat bergentel, nak berenang pun malas tapi kalau sapa pegang dia...siap aaa...kena karan sekejap...eh aku dah lari topik la SM...ampun...

Lady Windsor Says:
November 25, 2011 at 5:01 PM
This comment has been removed by the author.
SM Says:
November 25, 2011 at 8:59 PM

eleh, nak backing MF la tu. dah dia yang bersalah, terima je la. lepas tu tiba-tiba nak emosi pulak. hahaa...

oh ya, ikan karan tu sesuai ke bela kat rumah?

Lady Windsor Says:
November 26, 2011 at 8:20 AM

Pasai pa lak aku nak baking dia...
Ikan karan tu boleh bela kat rumah..ia akan kuarkan karan bila badannya disentuh...

Lady Windsor Says:
November 26, 2011 at 8:22 AM

...sambngan, so kalu ko x usik ikan tu x de lah ia sesaja nak karan tangan ko...air dalam akuarium pun x de karan, cuma ikan itu saja..ia kuarkan karan as protection..