Perjalanan terakhir: Cara aku mengingati mati.

| Wednesday, September 21, 2011 | |


Langit semakin pekat saduran warnanya. Di ufuk barat sana sudah tidak kelihatan lagi hamparan permaidani jingga yang sebentar tadi hanya tinggal penghujung menandakan putaran jarum pendek jam semakin menghampiri ke angka lapan. Tak lama lagi, azan Isya' pasti akan dilaungkan dari masjid yang berjarak hanya dua batang rokok kalau berbasikal dari simpang traffic light sini.


Sebaik kaki kiri aku melangkah keluar dari lif tengah menuju ke ruang lobi utama, pengawal bernama Naim yang aku kenali melalui tag nama yang sentiasa tersemat di dada kanannya itu sedang bersandar di luar mengadap ke `drop off' zone. Kali ini, aku tidak mengangkat tangan atau kening seperti biasa ketika melewati tempat dia bersidai kerana dia langsung tak perasan kehadiran aku, mungkin sebab laluan aku betul-betul membelakangi kedudukannya atau dia terlalu asyik menikmati sebatian nikotina dari hujung bibir lebamnya.


Sekali tendang, enjin kuda hitam aku mula menggigil memuntahkan asap dari corong buntutnya, meraung seolah-olah marah kerana seharian ditinggalkan sendirian di sebelah tiang bertanda E4 berwarna kuning. Maafkan aku wahai cintaku, aku menurut pepatah orang tua; aku sayangkan engkau sebab tu aku terpaksa tinggalkan engkau sendiri di sini.


Sesudah siap jaket bundle yang aku beli sebaik menerima bonus pertama lebih kurang tujuh tahun dulu membungkus tubur kurus keringku, aku terus memulas throttle separa habis sebelum kaki kiri aku sedikit menghentak ke hadapan bagi mengarahkan segala peralatan mekanikal aku bekerja lebih kuat lagi sebab hari sudah semakin larut bagi golongan pekerja pejabat seperti aku. Aku mahu segera sampai ke rumah untuk meredakan segala jaluran urat saraf yang berselirat di segenap tubuh aku. Tubuh dan minda aku tak dapat bekerja dan berfungsi dengan baik lagi buat masa ni. Agak sejuk jugak aku rasa sebaik aku dan kuda hitam aku mendaki ramp keluar dari ruang basement menuju ke jalan utama.


Hala tuju aku lewat maghrib ini adalah lebuhraya bertanda E20 di atas peta jalan semenanjung keluaran Jabatan Kerja Raya yang masih lagi setahun jagung. Lebih kurang tujuh minit kemudiannya, aku telah melepasi tol pertama menuju ke arah utara iaitu laluan terus aku setiap hari pulang ke rumah. Dengan sekali henjutan, deruman enjin kuda hitam aku mengiringi pecutan yang semakin bertambah dari 80 km/j hampir melepasi ke 90 km/j. Kelajuan yang selesa bagi kuda tua aku ni, tapi sering menjadi bahan gelak konco-konco ofis. Celaka, korang motor besar boleh la main henjut macam Wayne Rayne sebelum dia pencen dulu.


Permukaan jalan masih basah menandakan awan baru selesai menumpahkan isi perutnya dan ternyata tindakan luar biasa aku buat kerja lebih peting ni agak berbaloi, tak perlu menempuh hujan seperti waktu pagi tadi dan sebagai bonus, banyak kerja tertangguh yang dapat aku sudahkan. Dan lagi, aku dapat hisap rokok dalam ofis berulang kali tanpa perlu mendengar makcik mulut kepoh kat cubicle sebelah membebel tak tahan asap nikmat aku keluar macam biasa.


Fikiran aku melayang tatkala kedua-dua kanta mata aku memfokuskan ke hadapan, mencongak-congak rancangan tv yang bakal aku tonton sejam dari waktu tu. Malam ni entah ke mana Cody Lundin dan Dave Canterbury nak praktikkan skil ikhtiar hidup mereka kali ni, mungkin ke Cody akan terus berjalan atas permukaan glasier dengan berkaki ayam jugak?


Semakin lama, otak aku semakin hanyut dengan segala macam angan jangka pendek hinggakan aku tak sedar beberapa titis cecair telah menyapu jari-jari aku yang kemas menggenggam throttle. Aku mulai menyedari sesuatu yang tak kena apabila dagu dan bibir aku terasa sedikit pedih seperti dilibas dengan dedaun lalang. Hm, nampaknya malam ni sekali lagi Tuhan akan menyejukkan tubuh aku dengan curahan rahmatNya ke atas aku.


Kedinginan yang masih berbaki kesan daripada lebih 12 jam tubuh aku berada dalam ruang berhawa dingin menambahkan lagi kecutnya perut aku, apatah lagi jaket bundle yang membaluti tubuh aku tak mampu lagi memerangkap haba yang badan aku hasilkan. Jari kelingking kanan aku mulai terasa kebas. Rintikan air yang sebentar tadi mendinginkan mulai bersatu sesama sendiri dan menukarkan bentuk fizikalnya kepada titisan hujan renyai. Aku tak punyai pilihan lain, terpaksa juga meneruskan perjalanan dengan memperlahankan sedikit kelajuan kuda hitamku.


Hujan. Berpuluh tahun dulu, aku sangat sukakan hujan kerana setiap kali hujan aku akan mempunyai alasan kukuh untuk ponteng sekolah agama dan mengambil peluang bermain bola atas padang yang penuh lopak bersama brader-brader taman perumahan bersebelahan. Bagi aku, Tuhan menurunkan hujan adalah supaya aku tak perlu bersekolah pada hari itu. Berlainan dengan saat ini, hujan pastinya akan mendatangkan sedikit kesulitan pada aku terutamanya apabila aku memilih untuk menunggang kuda hitam aku berbanding duduk di bawah bumbung kereta buatan Malaysia kesayangan aku untuk sampai ke tempat kerja. Aku redha, rezeki Tuhan memang tak mudah untuk dicari walau pun sudah berada di depan mata. semuanya hanya dengan izin Yang Maha Esa.


Dari kelajuan normal aku iaitu 90 km/j pada permulaan perjalanan, kini aku hanya memacu enjin empat lejang bersesaran 109.5cc aku selaju 50 km/j sahaja. Tak mungkin aku dapat menentang arah tiupan angin yang semakin kencang ke arah aku, menjadi badan aku sentiasa terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan. Mujur lorong luar ini agak lebar jika hendak dibandingkan dengan beberapa lebuhraya lain yang biasa aku lalui sebelum ini.


Visor gelap yang menutupi separuh muka aku kini sudah semakin kelam dibasahi air hujan, begitu juga dengan cermin mata aku. Pandangan aku sangat kabur sehingga aku hanya mampu berpandukan kepada garisan putih di sebelah kanan aku untuk meneruskan perjalanan. Mustahil untuk aku berhenti di sisi lebuhraya semata-mata enggan menempuh titisan rahmat ini kerana aku sangat hafal selok belok laluan ini di mana tak terdapat sebarang tempat berteduh yang sesuai, melainkan tubuh bersaiz hanya beberapa milimeter membuatkan aku boleh berlindung di celah-celah rumput seperti anak katak tak tahu berenang yang takut kebasahan.


Zass...! Beberapa buah kereta pelesit menderu laju di sebelah aku membuatkan aku menghimpit ke sisi kiri kerana sedikit terkejut "Anak sundal..." aku memaki beberapa ekor khinzir bedebah yang diberikan lesen kelas D itu di dalam hati yang mempraktikkan perangai bapak setan mereka. Degupan jantung aku segera mempergiatkan lagi kerja-kerjanya mengepam darah aku dengan lebih kencang lagi. Aku menaikkan sedikit visor aku ke atas kerana tak mampu lagi melihat garisan putih di sebelah. Panduan aku sudah semakin hilang.


Serentak dengan itu, dari kejauhan belakang sana aku dapat mendengar bunyi seretan keras tayar kenderaan menghampiri aku. Belum sempat aku melirikkan mata ke arah cermin sisi untuk melihat apa yang berlaku, tiba-tiba tubuh aku terasa amat ringan dan bagaikan di awang-awangan, pandangan mata aku gelap...


****************************************************************************************************


Aku berdiri kaku di tepi lebuhraya dalam kebasahan yang amat mendinginkan, sementara kaki aku terus berpijak pada susunan rumput yang kemas bagaikan hamparan turf di padang hoki. Kini sepuluh jari aku pula yang kebas dan tak terasa apabila disentuh. Jatuhan air hujan semakin menggila bagaikan petanda kiamat semakin tiba dalam beberapa minit lagi.


Aku berpaling ke kiri memerhatikan kenderaan yang pada pengamatan aku adalah sebuah kancil putih di hujung garisan sana, tergesa-gesa memecut laju meninggalkan aku sendiri. Asap campuran karbon monoksida yang ditinggalkan dari corong ekzos kancil itu perlahan-lahan hilang ditelan curahan air hujan dari langit dan juga dari percikan lopak di permukaan jalan.


Hampir suku minit aku terpaku di tempat sama sejak aku tersedar tadi, perlahan-lahan berhenti dua buah motosikal di sebelah kanan aku yang ditunggang oleh dua orang lelaki. Salah seorang mereka segera menongkatkan motosikalnya jauh dari gigi jalan dan berlari-lari anak menuju ke `v drain' sana. Manakala seorang lagi termangu-mangu di atas seat motosikal cub bernombor pendaftaran dari pantai timur dan kemudiannya memandang keliling seperti tercari-cari sesuatu dalam raut wajah yang agak terkejut. Dengan wajahnya yang pucat, perlahan-lahan dia turun dari motosikal dan mengangkat tangannya ke arah kenderaan lain yang sedang meluncur laju meminta agar mereka yang lain memperlahankan kenderaan. Jelas dapat aku lihat, lelaki kedua ini berdiri dalam keadaan badan dan kakinya menggigil.


Setengah jam berlalu, hujan sudah mulai reda. Pergerakan kenderaan yang pada mulanya laju tadi seakan-akan menuruti irama hujan, masing-masing mula memperlahankan kenderaan, ada antara pemandu dan penumpang kenderaan menjengukkan kepala mereka ke luar tingkap cuba melihat-lihat benda yang aku sendiri tak tau.


Pandangan mata aku kini semakin jelas apabila aku dapat menangkap air hujan yang mengalir di permukaan asphalt dan menuruni cerun menuju ke bucu kasut getah jenama Amporlo pasar malam aku adalah bukan seperti sepatutnya. Ada sedikit warna kemerahan bercampur dengan air hujan. Aku mengangkatkan sedikit kaki aku ingin memastikan apakah benar air hujan atau air ini datangnya dari sumber yang aku tak berapa pasti.


Di atas jalan sana, kenderaan semakin sesak, hanya lorong paling kanan yang dapat dilalui kerana semua kenderaan cuba mengelak daripada melalui lorong tengah dan kiri. Kereta dan motosikal yang berhenti juga sudah semakin banyak. Dua lelaki yang berhenti tadi juga sudah tidak dapat aku lihat lagi, mungkin tenggelam di tengah-tengah kerumunan orang ramai yang berkumpul di tepi dan tengah jalan.


Di tengah-tengah guman orang-ramai itu, aku dapat lihat beberapa objek kecil tertutup kemas dengan kepingan akhbar yang setiap satunya telah dibasahi dengan air hujan berwarna merah. Aku tidak dapat pastikan apakah sebenarnya objek itu kerana saiznya yang lebih kecil sedikit daripada saiz akhbar tabloid.


Kemudian, aku berjalan sedikit menuju ke arah `v drain' di mana aku masih dapat melihat lelaki pertama tadi sedang berdiri di tebing bersama-sama seorang anggota polis berpakaian seragam tapi diselimuti `rain coat' gelap berjalur putih. Dari perlakuan lelaki itu, jelas dia seperti menceritakan sesuatu kepada anggota polis itu sambil tangan kanannya menunjuk-nunjuk ke arah tebing dan tengah lebuhraya silih berganti.


Beberapa meter dari tempat aku berjalan, kelihatan pula tiga orang anggota polis dan beberapa lelaki sedang terbongkok-bongkok mengutip sesuatu dari atas permukaan jalan dan memasukkan objek kecil yang berupa cebisan-cebisan kain dan benda lain yang serupa warnanya dengan seluar yang aku pakai ke dalam beg hitam yang dipegang di sebelah lagi tangan.


Rasanya, sudah lama aku berada disini sehingga badan aku sekali lagi terasa ringan. Aku segera teringatkan sesuatu, dan aku perlu pergi sekarang kerana ada seorang yang aku perlu temui untuk kali terakhir jauh di selatan semenanjung sana...


****************************************************************************************************


KUALA LUMPUR, Isnin - Seorang lelaki maut dalam satu kemalangan ngeri yang berlaku ketika hujan lebat, apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah kenderaan lain sebelum mangsa tercampak ke tengah jalan dan digilis sebuah bas persiaran yang sedang dalam perjalanan ke ibu kota.


Ketua Polis Daerah berkata, kemalangan berlaku pada jam 8:15 malam semasa mangsa seorang lelaki dalam lingkungan 30-an sedang dalam perjalan pulang dari tempat kerja. Beliau berkata, mayat mangsa yang tidak dapat dikenali kerana hancur digilis telah dihantar ke Hospital Serdang untuk dituntut oleh waris.


****************************************************************************************************


Nyaris! Bila dah berlaku perkara-perkara yang nyaris ni la buat aku cepat-cepat ingat yang ajal maut semua di tangan Tuhan. Katakanlah esok pagi aku tak dapat datang ke tempat kerja sebab tubuh aku dah tersimpan rapi dalam rumah mayat, adakah teman minum pagi aku yang selalu akan mengingati aku setiap kali tiba waktu sarapan? Atau adakah makcik dari cubicle sebelah akan berasa lega dengan ketiadaan aku lagi? Adakah setahun dari sekarang semua kenalan aku yang tak sampai sepuluh orang akan berkumpul bersama dan menceritakan kenangan manis mereka bersama aku? 


Takpe la geng, korang bagi al-Fatihah pada hari pertama korang dapat berita kematian aku pun dah cukup terima kasih. Nanti model Citroen atas meja aku tu ambil la siapa-siapa yang nak, tapi jangan jual sebab aku sayang sangat benda tu...

10 comments:

Lady Windsor Says:
September 22, 2011 at 8:12 AM

satu bentuk nota peringatan yang sangat menginsafkan...kita tak tahu bila-bila masa saja Allah boleh ambil nyawa kita..semoga masa Dia nak ambil itu kita dalam keadaan terpelihara...

SM Says:
September 22, 2011 at 10:23 AM

insya-Allah... semakin angka pada kiraan usia kita bertambah, kita semakin menuju ke satu permulaan yang lebih kekal...

Lady Windsor Says:
September 22, 2011 at 11:19 AM

nasib baik kita kiranya dalam kategori yang sentiasa mengingati mati..

SM Says:
September 22, 2011 at 11:27 AM

nasib baik, walau pun kadang kala terlupa sehingga kita sering berbuat sesuatu yang tak sepatutnya sebagai orang2 yang sedang beratur dalam barisan panjang menunggu ajal yang tak kelihatan...

Mommy Fara Says:
September 22, 2011 at 12:01 PM

Mengingati mati sambil takut akan Allah...

SM Says:
September 22, 2011 at 12:15 PM

takut hanya apabila melihat pengalaman orang lain di sekeliling, kemudian beberapa saat lepas tu kita kembali lupa. mohon supaya kita sentiasa diberikan ingatan akan ketentuanNya...

Lady Windsor Says:
September 22, 2011 at 1:36 PM

..ya..kita dalam senarai panjang menunggu giliran yang akan tiba bila2 masa saja..tak terfikir..

SM Says:
September 22, 2011 at 2:12 PM

sepanjang mana barisan tu kita tak tau. sebab kita tak pernah nampak apa berlaku di barisan paling hadapan. adakah masih panjang sebelum tiba giliran kita, atau hanya menunggu masa...

Lady Windsor Says:
September 22, 2011 at 6:05 PM

harap-harap bila tiba masa aku yang semakin hampir dengan garisan hisab, aku dalam keadaan bersedia...

SM Says:
September 25, 2011 at 9:55 PM

Insya-allah beb!